malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Tak sembunyi apa-apa’ - MB akan beri taklimat pada Adun tragedi Putra Heights
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 3:00 PM
Dikemaskini: 7:01 AM
ADS

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan dia akan mengadakan sesi taklimat khas dengan semua Adun pada Isnin ini bagi menjelaskan laporan akhir insiden kebakaran di Putra Heights.

Ia susulan kritikan daripada pelbagai pihak yang mendakwa laporan berkenaan tidak lengkap dan kurang maklumat penting.

Amirudin berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat pramajlis bersama para Adun semalam.

“Taklimat ini akan dibuat khusus kepada semua wakil rakyat tidak mengira wakil kerajaan mahupun pembangkang. 

“Selain itu, saya telah memohon kepada speaker DUN Selangor agar pihak kerajaan dapat diberi ruang memberi penerangan berhubung isu yang sama dalam sesi DUN akan datang,” katanya di Facebook hari ini.

Pada Isnin lalu,  Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Husdin Che Amat memaklumkan hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah (unsupported segment) yang dikenal pasti lembut dan lembap.

“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal (physical failure) pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar,” katanya.

Dalam sidang media sama, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan juga mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian dikesan dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Namun, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan tersebut yang disifatkannya tidak menyeluruh dan terlalu bergantung kepada jawatankuasa siasatan dalaman, yang menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Bagaimanapun, Amirudin menolak tanggapan itu dan menegaskan siasatan telah dijalankan secara menyeluruh berdasarkan sampel paip dan tanah, selain kajian terhadap pergerakan air.

Dia juga berkata kerajaan negeri terbuka kepada kemungkinan siasatan lanjut oleh pihak bebas.

“Kerajaan Negeri tidak sembunyikan apa-apa atau bertujuan hendak mengenakan atau ambil tindakan menganiaya mana-mana pihak,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen