malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menantu Hadi mulakan tindakan perundangan ke atas Sim
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 11:52 AM
Dikemaskini: 7:10 AM
ADS

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh dan bekas anggota jawatankuasa pusat parti itu memulakan tindakan undang-undangnya terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berhubung dakwaan dia difitnah oleh pemimpin DAP berkenaan.

Menurut satu video pendek yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zaharudin Muhammad menuntut permohonan maaf daripada Sim kerana menuduhnya menghina pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

"Dia (Sim) telah memfitnah saya menghina ATM, rasis dan seumpamanya. Jadi, hari ini saya hantar surat LOD (surat tuntutan) dan saya tunggu jawapan dia untuk memohon maaf secara terbuka.

"...jika kalau kamu mahu bincangkan tentang penghinaan terhadap ATM, itu kamu kata, saya tidak pernah kata (menghina ATM).

"ATM adalah tentera yang wajib pertahanan, tak ada apa-apa perkataan kenyataan daripada saya yang menghina ATM seperti mana yang kamu dakwa.

"Jadi, kita jumpa di mahkamah. Atau kamu memohoh maaf sebagaimana dinyatakan dalam LOD yang saya hantar kepada kamu," katanya dalam video berkenaan

Video itu dirakam petang semalam ketika Zaharudin – yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang – berkunjung ke pusat khidmat Sim di Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menyerahkan LOD tersebut.

Sim merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Setiausaha Agung DAP.

Steven Sim

Bagaimanapun, pejabat pusat khidmat Sim ditutup dan Zaharudin gagal untuk menyerahkan surat berkenaan kepada pegawainya.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa pusat khidmat tersebut ditutup kerana kakitangannya menghadiri upacara pengebumian datuk Sim.

Sebelum ini Zaharudin menarik perhatian ramai dengan hantaran rekaannya mengenai kemunculan seorang lelaki Cina menjadi perdana menteri di negara ini.

Mengiringi hantaran tersebut – sebagai “gambar hiasan” – ialah majlis pemakaian pingat leftenan jeneral kepada pegawai kanan ATM, Johnny Lim Eng Seng.

Lim menjadi anggota ATM pertama dalam kalangan orang Cina diberikan pangkat tersebut.

Mengulas isu itu, Sim mendakwa tindakan Zaharudin membuat “kenyataan jahat” dan mendesak agar tindakan undang-undang dikenakan ke atasnya.

Zaharudin menafikan dia mempertikaikan pelantikan Lim sebaliknya mahu memberi kesedaran terhadap “bahaya” daripada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2). Hantaran tersebut kemudian dipadamkan oleh Zaharudin.

MM2H merupakan suatu inisiatif kerajaan sejak 2002. Ia kemudian ditangguhkan pada penghujung 2019 sebelum disambung semula – dengan syarat lebih ketat – sejak Nov 2021. Untuk rekod ketika itu kerajaan ditadbir oleh PN dengan PAS adalah sebahagian daripada komponennya.

Zaharudin turut mencabar Sim untuk berdebat mengenai program MM2H.

Malaysiakini telah menghubungi pembantu menteri tersebut untuk mendapatkan penjelasan berhubung LOD Zaharudin dan cabaran debat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen