Seorang ahli muzik berusia 46 tahun ditahan polis semalam selepas disyaki memukul rakan serumahnya menggunakan batang pemegang gitar dalam kejadian di Pandan Indah, Ampang Jaya pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kejadian berlaku selepas mangsa – seorang lelaki berusia 52 tahun – terdengar bunyi hempasan pintu bilik air kira-kira jam 6.30 pagi.
"Kerana tidak berpuas hati, mangsa keluar dari biliknya dan menghempas pintu bilik air itu semula.
“Kemudian suspek yang tinggal di bilik sebelah mangsa keluar membawa batang besi (pemegang gitar) dan terus memukul lelaki terbabit di bahagian tangan.
"Suspek turut mengugut akan membawa kawannya untuk memukul mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemuzik kira-kira jam 4.45 petang semalam di Pandan Jaya dan merampas sebatang pemegang gitar berwarna hitam bagi membantu siasatan.
"Hasil ujian air kencing suspek didapati negatif dadah dan semakan menunjukkan suspek tiada rekod jenayah lampau. Suspek dibebaskan selepas keterangannya dirakam," katanya.
Mohd Azam berkata siasatan turut mendapati mangsa dan suspek pernah beberapa kali berselisih faham dan bertengkar berpunca daripada masalah bising alat muzik yang dimainkan oleh suspek hingga menyebabkan mangsa tidak dapat berehat.
Menurutnya lagi kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata, dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (membuat ugutan jenayah).
- Bernama

