Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan.
Dalam surat bertarikh semalam, Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim yang menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara berkata, pelantikan Zabariah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 9 (3) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Menurut surat itu, pelantikan Zabariah bermula semalam hingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.
Sesalinan surat berkenaan turut dihantar kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Zamri Bakar dan Pendaftar Mahkamah Rayuan Jumirah Marjuki.
Bekas Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim bersara apabila mencapai usia 66 tahun semalam, iaitu umur persaraan wajib bagi hakim.
Zabariah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan kemudiannya bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jan 2009.
Dia disahkan sebagai hakim mahkamah tinggi pada 9 Ogos 2010 sebelum ditugaskan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 2 Jan 2013 dan kembali bertugas sebagai hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2016.
Zabariah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016 dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Dis 2019.
Dia telah mencapai usia 66 tahun pada 10 April lalu namun menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Pada Mac lalu Zabariah dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia merupakan jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia.
- Bernama

