malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM siasat taikun Singapura terlibat skandal perlombongan Sabah
Diterbitkan:  Jul 3, 2025 10:40 PM
Dikemaskini: 2:40 PM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap seorang taikun dari Singapura yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah perlombongan mineral di Sabah.

Menurut laporan New Straits Times, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memaklumkan bahawa dia telah mengarahkan SPRM Sabah untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes tersebut.

"Kami telah membuka kertas siasatan semalam melibatkan ahli perniagaan dari Singapura.

"Saya telah mengarahkan SPRM Sabah untuk menyiasat lanjut," katanya dalam satu sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Pengarah SPRM Kelantan yang baru, Azmin Yusuff dan penyandang terdahulu, Rosli Husain di Kota Bharu.

Azam turut menyatakan bahawa individu berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan Albert Tei, pemberi maklumat dalam skandal rasuah perlombongan di Sabah.

SPRM merujuk satu artikel yang mendakwa taikun berkenaan merupakan pihak yang membiayai rasuah yang dibayar oleh Tei kepada pemimpin Umno Sabah. SPRM kini sedang berusaha untuk mengesahkan maklumat tersebut.

Azam berkata SPRM akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Sejak November lalu, Albert Tei menyerahkan pelbagai bahan bukti kepada SPRM termasuk rakaman video, dokumen, serta tangkap layar perbualan WhatsApp, yang didakwa mengaitkan beberapa Adun dengan skandal perlombongan tersebut.

Menurut Azam, kes rasuah di Sabah itu dijangka melibatkan bilangan saksi yang besar, termasuk individu baru yang belum pernah dipanggil dalam siasatan terdahulu.

"Terlalu ramai saksi.

"Saya tidak dapat ingat kesemuanya, apatah lagi setiap kertas siasatan melibatkan saksi berbeza.

"Kes terbaru melibatkan taikun dari Singapura memerlukan saksi baru, dan saya percaya ramai akan dipanggil," katanya seperti dilaporkan.

Ditanya sama ada lebih ramai individu akan didakwa, Azam berkata keputusan itu terletak di tangan Timbalan Pendakwa Raya.

"Ada lagi yang masih dalam siasatan, tetapi saya tidak boleh buat keputusan mengenai pendakwaan. Itu bergantung kepada pihak pendakwaan," katanya.

Pada 30 Jun lalu, Tei didakwa di mahkamah atas tuduhan merasuah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy, serta Adun Sindumin, Yusof Yacob, bagi mendapatkan bantuan dalam permohonan lesen cari gali mineral.

Andi didakwa menerima wang tunai sebanyak RM150,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing — juga dikenali sebagai Albert Tei — sebagai balasan untuk membantu permohonan lesen cari gali oleh Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Mei 2023 di kediaman Andi di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu.

Andi — yang juga Ahli Parlimen Kalabakan — didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Yusof, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah, didakwa menerima wang tunai sebanyak RM200,000 daripada Tei di bar atas bumbung Hotel Hilton, Kota Kinabalu, pada 6 Mac 2023. Suapan tersebut didakwa bertujuan bagi membantu proses permohonan lesen cari gali bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Tei, seorang ahli perniagaan dari Selangor yang juga pemberi maklumat dalam kes ini, didakwa atas dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada dua Adun terbabit di bawah peruntukan undang-undang yang sama.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 setiap seorang kepada kedua-dua Adun, dengan RM10,000 perlu didepositkan ke mahkamah bersama seorang penjamin tempatan. Tei pula dibenarkan ikat jamin sebanyak RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan RM15,000 perlu didepositkan ke mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos 2025 sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen