malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Minum alkohol masih dibenarkan di pantai persendirian, restoran, pub dan kafe — Exco
Diterbitkan:  Jul 3, 2025 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM
ADS

Pengambilan alkohol masih dibenarkan di pantai persendirian, restoran, pub dan kafe meskipun terdapat larangan baru di kawasan rekreasi awam di Negeri Sembilan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar.

Arul menegaskan bahawa larangan tersebut adalah wajar atas faktor keselamatan, dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka tidak dihalang daripada membeli atau meminum alkohol di pantai persendirian, restoran, kafe mahupun pub.

“Kami tidak menghalang sesiapa daripada meminum alkohol. Terdapat kafe, bar, restoran dan lokasi di pantai persendirian yang menyajikan alkohol dan anda bebas menikmatinya.

“Tiada sebarang masalah untuk membeli atau meminum alkohol dari hotel dan restoran yang mempunyai pantai persendirian, atau jika anda mahu membelinya untuk diminum di rumah.

“Larangan ini hanya terpakai kepada empat jenis ruang awam iaitu pantai awam, taman permainan, taman rekreasi dan padang,” kata Arul.

Dia juga meluahkan rasa kesal apabila pihak berkuasa tempatan sering menerima aduan daripada penduduk mengenai serpihan kaca dan botol arak kosong yang ditinggalkan di taman awam, taman permainan dan pantai.

Arul berkata penduduk terkesan dengan gangguan bunyi bising pada waktu malam yang dilakukan oleh individu mabuk yang sering memasang muzik kuat dan terlibat dalam pergaduhan di taman dan taman permainan awam.

“Ini adalah isu keselamatan, bukan isu agama. Ia bukan soal melarang bukan Islam daripada membeli atau meminum alkohol, dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan atau dijadikan kambing hitam,” tambah beliau.

Arul berkata pihak berkuasa tempatan secara rutin menemui serpihan kaca dan botol arak pecah yang bertaburan di pantai awam di Port Dickson setiap hari, termasuk insiden pergaduhan akibat mabuk.

“Minggu lepas sahaja, terdapat satu lagi insiden di Nilai di mana sekumpulan individu mabuk bergaduh di sebuah taman awam, meninggalkan kaca pecah dan menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan penduduk,” katanya.

DUN Negeri Sembilan semalam mengumumkan bahawa larangan terhadap alkohol akan berkuat kuasa serta-merta di ruang rekreasi awam seperti taman, padang, taman permainan dan pantai.

Mereka yang melanggar larangan ini berisiko dikenakan denda sehingga RM2,000 di bawah undang-undang baru yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan dan polis.

Arul turut mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan negeri telah menetapkan zon khas untuk premis hiburan tertentu yang membenarkan pengambilan alkohol secara bebas, dan tiada sekatan dikenakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen