Bank Rakyat hari ini menjelaskan pemecatan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani dibuat mengikut prosedur dan lunas-lunas perundangan yang sah.
Ia berikutan tindakan Syaiful Rizal bersama empat lagi plaintif memfailkan saman terhadap bank itu dengan mendakwa pemecatan mereka sebagai tidak sah.
"Bank Rakyat ingin menjelaskan bahawa perkara berkaitan dengan penamatan perkhidmatan Syaiful Rizal Abdul Ghani adalah mengikut prosedur dan lunas-lunas perundangan yang sah.
"Bank Rakyat turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan prinsip tadbir urus korporat, integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap aspek pengurusan termasuk dalam peranan sebagai pengasas YBR.
"Sebarang keputusan yang melibatkan pengurusan YBR telah dilaksanakan melalui proses sewajarnya dan berlandaskan mandat serta kuasa yang diberikan oleh perundangan dan peraturan sedia ada," katanya.
Terdahulu Syaiful Rizal memfailkan saman terhadap bank Rakyat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu bersama empat lagi plaintif.
Mereka mendakwa dipecat secara mengejut, tanpa alasan yang sah dan tanpa mematuhi tatakelola pengurusan.

“Punca kuasa pelantikan saya adalah daripada Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Rakyat, tetapi perkhidmatan saya telah ditamatkan oleh jawatankuasa eksekutif yang baru ditubuhkan.
“Sedangkan menurut undang-undang, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih peranan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rakyat,” katanya.
Selain Syaiful Rizal, plaintif-plaintif lain ialah Ketua Bahagian Operasi Mohd Mukhti Abd Rahman, Ketua Sekretariat Mohamad Ghazali Zainal Abidin, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat Khairul Na’im Aripan @ Arifin dan Pengurus Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Muhamad Johary Abdul Jalil.
Kesemua mereka adalah bekas pegawai kanan Syaiful Rizal.
Bagaimanapun Bank Rakyat menegaskan bahawa dakwaan Syaiful Rizal seperti yang tular di media sosial adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
"Sehubungan dengan itu, kami memohon kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
"Bank Rakyat juga berharap agar semua pihak dapat menghormati perjalanan proses mahkamah yang sedang berlangsung.
"Bank Rakyat amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan dalam usaha untuk menangani perkara ini secara profesional dan bertanggungjawab," tambahnya.

