malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu kaum India: Senyap bukan bermakna tak buat apa-apa, kata Izzah
ADS

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa sikapnya yang dilihat kurang bersuara dalam beberapa isu melibatkan masyarakat India bukan bermakna dia tidak mengambil sebarang tindakan.

Sebaliknya, kata Izzah, dia lebih memilih untuk bekerja secara senyap dengan fokus kepada hasil yang konkrit.

"Ada yang kata saya terlalu senyap, perlu lebih lantang seperti dahulu. Tapi diam bukan bererti tidak berbuat apa-apa.

"Saya percaya pada substansi sebelum sandiwara," katanya dalam satu kenyataan hari ini ketika mengulas cadangan inisiatif untuk memperkasakan masyarakat India di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Terdahulu, dalam satu sidang media di Petaling Jaya, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memaklumkan bahawa Yayasan Iltizam Malaysia dan Sustainable Initiative for Community Change (SICC) telah mengemukakan cadangan mereka kepada Kementerian Ekonomi pada 23 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkongsi pengalamannya bekerja dengan Santiago dan beberapa pihak lain dalam siri meja bulat pakar bagi membincangkan isu-isu berkaitan komuniti India Malaysia.

Inisiatif tersebut melibatkan penyertaan ahli ekonomi, pegawai kerajaan, pemimpin NGO serta wakil masyarakat bagi merangka penyelesaian bersifat transformatif.

"Ini bukan sekadar perjumpaan ‘syok sendiri’. Kami serius dalam membina pelan tindakan.

"Isu ini bukan sekadar tentang komuniti India, tetapi soal keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

"Ini bukan tentang meraih undi, tapi tentang memastikan tiada siapa tertinggal," katanya.

Nurul Izzah berharap usaha ini akan membawa perubahan nyata, terutamanya bagi membantu mereka yang terpinggir.

Katanya, berdasarkan laporan Kumpulan Parlimen Pelbagai Parti (APPGM) untuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), komuniti India Malaysia, terutama golongan B40, masih menghadapi masalah seperti tidak bersekolah, kemiskinan antara generasi, isu tanpa kerakyatan, pekerjaan berpendapatan rendah dan keganasan rumah tangga

Bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu turut berkongsi kisah menyentuh hati mengenai seorang pelajar sekolah Tamil yang terpaksa mengorbankan cita-cita menjadi jurutera akibat desakan hidup keluarganya.

"Pada 2008, sebagai Ahli Parlimen muda, saya mengunjungi sebuah sekolah Tamil. Seorang budak lelaki sedang melukis apa yang dia namakan "masa depannya"— gambar dirinya memakai baju keselamatan di sebelah sebuah bangunan. Saya tanya apa yang dilukisnya.

“Dia menjawab -saya nak jadi jurutera,” kata Izzah.

Apabila ditanya lebih lanjut, Izzah berkata murid berkenaan berhenti tersenyum dan mengatakan bapanya mahu dia bekerja dengannya kerana tiada duit untuk menanggung perbelanjaan bagi menyambung pengajian.

"Itu adalah seorang rakyat Malaysia dengan impian, terperangkap antara harapan dan realiti.

"Suaranya masih bersama saya hingga hari ini. Saya tidak dapat melupakan senyumannya — dan bagaimana ia hilang. Saya sering tertanya di mana dia sekarang dan apa yang dilakukannya. Saya mahu memastikan dia dan ramai sepertinya berjaya dalam pendidikan dan mengejar impian mereka," katanya.

Terdahulu, Santiago berkata mereka berharap akan dapat bertemu dengan perdana menteri Anwar Ibrahim.

"Kami sedang menunggu jawapan untuk menetapkan tarikh mesyuarat," kata pengerusi SICC itu.

Katanya, mereka mencadangkan 40 inisiatif dan 11 pelan tindakan merentasi lima tonggak di bawah RMK-13 untuk menangani halangan sistemik yang dihadapi oleh masyarakat India.

Lima tunjang itu ialah reformasi pendidikan, pembangunan wanita dan belia, kemajuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), reformasi institusi, dan tadbir urus.

Cadangan-cadangan itu dirumuskan selepas berbulan-bulan berunding dengan lebih 200 individu termasuk pemimpin wanita dan ahli akademik.

Antara lain, kumpulan itu menyeru agar pendidikan prasekolah diwajibkan untuk semua kanak-kanak, sebagai sebahagian daripada menyelesaikan kadar keciciran "sangat tinggi" dalam kalangan pelajar India, yang dianggarkan antara 30 peratus dan 50 peratus.

Mereka juga mencadangkan penubuhan 40 makmal komuniti dalam tempoh lima tahun akan datang dengan matlamat untuk menyokong wanita dan belia India dari segi pendidikan, latihan dan keusahawanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen