malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tragedi Putra Heights: PAS berang hanya tanah dan paip dipersalahkan
ADS

PAS Selangor tidak berpuas hati dengan laporan rasmi tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu yang didakwa tidak lengkap dan gagal mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ab Halim Tamuri berkata laporan itu menimbulkan banyak persoalan, termasuk kegagalan menamakan pemaju dan kontraktor yang terlibat, selain hanya menyalahkan tanah serta paip sebagai punca kejadian.

“Apakah ini gambaran sebenar tahap keprihatihan dan ketelusan kerajaan negeri Selangor dalam menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat?

“Tiada pemaju dinamakan, tiada kontraktor didakwa, dan akhirnya tanah serta paip yang dipersalahkan, elemen yang tidak mampu mempertahankan diri.

“Insiden ini bukan hanya mencerminkan kegagalan struktur infrastruktur, tetapi juga membongkar kelemahan dalam tadbir urus, ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan Selangor,” katanya pada sidang media di Puchong, hari ini.

Hadir sama Adun Sungai Ramal, Shafie Ngah dan Adun Permatang, Syazwani Noh.

Pada 1 April, kebakaran besar yang melibatkan saluran gas Petronas menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap kawasan sekitar menjadi kawah besar.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir lapan jam. Kira-kira 146 mangsa dibawa ke hospital dan klinik untuk rawatan, manakala 219 rumah dilapor mengalami kerosakan.

Susulan itu pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah melancarkan siasatan untuk menentukan punca letupan.

Semasa sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Isnin lalu, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum DOSH Husdin Che Amat mengumumkan paip terbabit tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya akibat beban berulang menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan yang pecah dan mencetuskan kebakaran.

Pada sidang media yang sama, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian ditemui dan berkata mereka mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sementara itu Ab Halim mempersoalkan jawapan umum diberikan JKKP yang hanya menyebut ‘faktor antropogenik’.

Katanya, laporan berkenaan tidak menjelaskan bagaimana kerja tanah boleh berlaku dalam kawasan right of way (ROW) paip tersebut.

“Lebih mengejutkan kerja korekan tanah itu dijalankan oleh kontraktor yang kini sedang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Ini menimbulkan persoalan besar berhubung pemantauan dan ketelusan yang diberikan kepada kontraktor tersebut,” katanya.

Adun Paya Jaras itu juga mempersoalkan siapakah pihak yang memberikan kelulusan untuk menjalankan kerja-kerja korekan di kawasan berisiko tinggi, dan mengapa tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pemaju dan kontraktor terlibat.

“Bagaimana laporan penyiasatan boleh menyatakan bahawa semua kerja telah mematuhi operasi prosedur standard, sedangkan bukti menunjukkan sebaliknya?” soal Ab Halim.

Tegas Ab Halim lagi, laporan audit yang dijalankan terhadap Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Koridor Utiliti Selangor (Kusel) juga tidak dibentangkan kepada umum.

Justeru katanya, PAS Selangor akan terus menggesa kerajaan negeri agar satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan semula oleh badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen