malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas menantu Ismail Sabri diisytihar bankrap
Diterbitkan:  Jul 3, 2025 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) selepas gagal membayar pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan.

Penolong kanan pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, membuat keputusan itu dalam prosiding hari ini selepas membenarkan petisyen pemiutang yang dikemukakan oleh Cekap Air Sdn Bhd pada 20 Nov tahun lalu.

Menurut laporan Berita Harian, berdasarkan petisyen tersebut, Jovian — yang juga bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob — didakwa telah melakukan perbuatan kebankrapan apabila gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei tahun lalu.

Notis itu menyatakan Jovian berhutang kepada Cekap Air sebanyak RM5,284,340.66, termasuk faedah, setakat 21 Mei tahun lalu iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.

Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat berkenaan, berkata pihaknya memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Siti berkata, selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, pihaknya kemudian memfailkan Petisyen Pemiutang, yang dibenarkan mahkamah hari ini.

"Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah,” katanya seperti dilapor.

Pada 2 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Jovian membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu, yang membolehkan plaintif mendapat keputusan mahkamah tanpa melalui perbicaraan penuh.

Pada 16 Mei 2023, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.

Dalam penyataan tuntutannya, syarikat tersebut mendakwa telah memberikan pinjaman RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.

Cekap Air berkata, atas arahan Jovian, firma guaman tersebut telah mengesahkan penerimaan wang berkenaan.

Rayuan Jovian terhadap keputusan penghakiman terus melalui saman utama akan didengar pada 15 September ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen