malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ronggeng tidak selesaikan derita rakyat - PN bidas cadangan KM Melaka
Diterbitkan:  Jul 3, 2025 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Mohd Yadzil Yaakub hari ini melahirkan rasa kesal terhadap cadangan kerajaan negeri untuk menghidupkan semula tarian tradisional ronggeng atau joget lambak sebagai daya tarikan pelancongan.

Menurut Adun Bemban yang mewakili parti Bersatu itu, langkah berkenaan tidak berfaedah dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar.

Mohd Yadzil Yaakub

“Saya cukup kesal dan menbantah niat Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk menghidupkan semula tari ronggeng.

“Apa sebenarnya yang difikirkannya? Apakah Rauf sudah ketandusan idea?” soalnya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.

Mohd Yadzil turut mempersoalkan kesesuaian budaya tersebut untuk diketengahkan sebagai lambang warisan negeri.

“Tari Ronggeng atau joget lambak bukan asal dari Melaka. Ia berasal dari Jawa. Sedikit pun tidak melambangkan budaya Melayu Islam Melaka.

“Tari ronggeng tidak jauh bezanya seperti kelab malam di tempat terbuka,” katanya.

Mohd Yadzil juga menyentuh soal keutamaan perbelanjaan kerajaan negeri dan menegaskan bahawa dana negeri sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan isu-isu rakyat, bukan untuk program hiburan.

“Dalam keadaan ekonomi negeri dan rakyat yang sedang terhimpit, peruntukan dana untuk program ini dilihat sebagai pembaziran dan tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat Melaka.

“Banyak lagi masalah yang boleh diselesaikan dengan dana yang ada.

“GLC Melaka rugi berjuta-juta ringgit, tetapi kerajaan mahu tumpu pada joget lambak?” katanya tanpa menghuraikan GLC yang dikatakan rugi itu.

Ab Rauf Yusoh

Cadangan menghidupkan semula ronggeng diumumkan oleh ketua menteri semalam, yang menyatakan usaha itu akan dilakukan secara berhati-hati agar tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ab Rauf juga menyifatkan ronggeng sebagai seni tari warisan yang hampir dilupakan dan memiliki potensi sebagai produk pelancongan negeri.

Namun, Mohd Yadzil membantah anggapan bahawa pelancong akan tertarik kepada persembahan sedemikian.

“Tidak ada bukti kukuh bahawa pelancong akan datang ke Melaka semata-mata untuk menyaksikan joget lambak.

“Pelancong lebih tertarik kepada keunikan warisan sejarah Melaka, makanan tradisional, dan seni bina — bukan hiburan bercampur bebas,” katanya.

Dia seterusnya mencadangkan agar pendekatan memelihara budaya dilakukan secara lebih berhemah dan mendidik.

“Menghidupkan seni budaya tak bermakna kita perlu mengulangi semua bentuk hiburan lama secara literal.

“Seni tari boleh didokumentasi, difilemkan secara berseni, atau ditukar bentuk untuk pembelajaran tertutup di sekolah atau muzium interaktif,” katanya.

Mohd Yadzil juga memberi amaran terhadap kecenderungan pentadbiran negeri ke arah gaya hidup mewah dan hiburan berlebihan.

“Kerajaan negeri Melaka yang dipimpin oleh Ab Rauf dilihat banyak mengutamakan hiburan dan mewah berbelanja.

“Kita semua perlu mengambil iktibar dari sejarah kejatuhan kerajaan Uthmaniyah juga banyak dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan suka berhibur di kalangan pemimpin dan elit istana,” katanya lagi.

Dia juga memberi peringatan agar kerajaan tidak mengabaikan amanah rakyat.

“Rakyat sedang hidup dalam bebanan yang cukup tinggi. Tarian dan hiburan tidak akan selesaikan bebanan yang sedang dihadapi oleh rakyat.

“Saya sebagai Adun Perikatan Nasional (PN) akan terus komited membela nasib rakyat Melaka.” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen