Seorang menteri Sabah tampil menafikan dakwaan menerima rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral, yang telah mengaitkan sejumlah Adun di bawah pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.
Menjawab laporan Malaysiakini pada 28 Jun lalu, Menteri Belia dan Sukan Sabah Ellron Angin menafikan dakwaan menerima suapan berjumlah RM530,000 berkaitan skandal itu.
“Saya dengan tegas menafikan dakwaan menerima rasuah atau terlibat dalam sebarang urus niaga bernilai RM530,000.
“Dakwaan ini merupakan fitnah tidak berasas yang didorong oleh motif politik tidak matang, dan ia mencemarkan nama baik serta integriti saya sebagai wakil rakyat,” kata Ellron yang juga Adun Sook.
Penafian Ellron, yang juga naib presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), menyusul selepas penafian presidennya, Jeffrey Kitingan, yang turut dikaitkan dalam laporan tersebut.
Dalam laporan itu, Satu sumber memberikan Malaysiakini tangkap layar yang dikatakan diambil daripada rakaman video membabitkan enam individu terbabit, serta jumlah wang yang didakwa mencecah RM3.96 juta.
Mengulas lanjut, Ellron berkata dia sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan tadbir urus bersih, sejajar dengan komitimen kerajaan Sabah dalam membanteras rasuah.
Dia juga berkata telah mengarahkan pasukan guamannya untuk memulakan tindakan ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan “dakwaan palsu” ke atasnya.

