NGO, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyifatkan peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai satu isyarat kepada krisis moral dan kesihatan awam yang perlu ditangani segera oleh semua pihak.
Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata pihaknya memandang serius laporan media pada 1 Julai lalu yang mendedahkan seramai 222 pelajar IPT disahkan positif HIV sepanjang tahun lepas, dengan majoriti mereka berusia antara 18 hingga 19 tahun.

“Statistik ini amat membimbangkan dan wajar dijadikan amaran nasional terhadap situasi kesihatan awam serta keruntuhan nilai moral dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Menurutnya, fenomena itu bukan sekadar masalah perubatan, tetapi mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual yang berkesan serta nilai akhlak yang mendalam.
“Golongan pelajar seharusnya menjadi tonggak masa depan negara, bukan terjerumus ke dalam kancah risiko jangkitan penyakit berbahaya seperti HIV/Aids,” katanya.
Armin menggariskan beberapa punca yang perlu diberi perhatian, antaranya kurangnya pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual yang menyeluruh, pengaruh media sosial dan kandungan tidak bermoral, ketandusan bimbingan agama serta budaya bebas di kampus.
Sehubungan itu, GEM menggesa kerajaan mewajibkan subjek Pendidikan Seksual Bersepadu berlandaskan agama dan budaya di peringkat sekolah menengah dan IPT.

Katanya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu berganding bahu melaksanakan saringan HIV berkala, pendidikan pencegahan dan penubuhan pusat intervensi awal serta kaunseling di semua IPT.
"Isu ini bukan semata-mata soal kesihatan, tetapi merupakan krisis kepimpinan sosial dan nilai yang memerlukan tindakan holistik dan tegas oleh semua pihak – termasuk kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, dan masyarakat.
“Kehilangan generasi muda kepada krisis seperti HIV bukan sahaja merugikan negara dari segi modal insan, tetapi turut mencerminkan kelemahan dasar dan pelaksanaan sistem sokongan sosial,” katanya.

