Seorang tauke vape mendakwa dia tidak pernah memegang jawatan dalam lembaga pelawat Hospital Rembau, susulan kritikan meluas berhubung perkara itu.
Adzwan Ab Manas memberitahu Malaysiakini yang dia meletakkan jawatan daripada lembaga tersebut pada hari yang sama dia dimaklumkan mengenai pelantikannya oleh Kementerian Kesihatan — iaitu pada 23 Jun.
“Surat (pelantikan) daripada kementerian menyatakan tempoh saya berkuat kuasa pada 1 Januari dan sepatutnya tamat pada 31 Disember 2027, tetapi saya hanya dimaklumkan mengenainya pada bulan lalu.
“Saya hadir mesyuarat (dengan pihak hospital) pada hari sama dan terus letak jawatan.
“Dalam kata lain, saya langsung tidak pernah terima pelantikan itu,” katanya yang juga presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA).
Lembaga pelawat hospital lazimnya berperanan sebagai penghubung antara hospital dan komuniti, bagi menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan.
Lembaga itu juga menangani isu dalam penyampaian perkhidmatan dan kebajikan pesakit, selain menyelaras bantuan kewangan dan sumbangan.

Kata Adzwan lagi, penglibatannya dalam industri vape bukan faktor dalam pelantikan tersebut, dan menegaskan jawatan itu tidak menawarkan sebarang manfaat kewangan.
“Mana-mana anggota masyarakat boleh dilantik ke lembaga pelawat hospital memandangkan tugas utamanya adalah untuk bertindak bagi pihak pesakit bagi memastikan mereka menerima rawatan terbaik,” katanya.
Dia turut menjelaskan hantaran media sosialnya pada 23 Jun yang memaparkan imej surat pelantikan diiringi kata-kata “berbakti pada negara” sebenarnya adalah sindiran bernada sarkastik. Bagaimanapun dia tidak menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan sindiran itu.
Terdahulu, dalam satu hantaran Facebook hari ini, Adzwan berkata dia meletakkan jawatan daripada lembaga itu selepas memikirkan impak negatif yang mungkin timbul akibat penglibatannya dalam industri vape.
Hantaran itu bagaimanapun telah ditutup daripada tatapan umum.
Pelantikan Adzwan sebelum ini tular di media sosial.
Penceramah agama Firdaus Wong Abdullah berkata pelantikan itu tidak selari dengan aspirasi Menteri Kesihatan Dr Dzulkefley Ahmad yang menyambut baik langkah beberapa negeri mengharamkan vape.
Firdaus turut memuat naik gambar surat pelantikan Adzwan yang ditandatangani Dzulkefly dan bertarikh 27 Mei.
Dia turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan nama Adzwan dalam senarai ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau.
Berhubung perkara itu, Adzwan mendakwa laman web Kementerian Kesihatan belum dikemas kini selepas dia meletakkan jawatan.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini dan sedang menunggu maklum balas.

