Kenyataan sinis Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang mengingatkan Rafizi Ramli agar “jangan bakar lebih-lebih” kerana “kes boleh dicari”, mencetuskan satu lagi episod panas dalam pentas politik negara.
Ia susulan pencelahan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, semalam yang berkata, jika kes boleh dicari, maka tidak mustahil kes juga boleh dipadamkan.

“Wan Saiful lupa, semasa Bersatu bersekongkol dalam PH 1.0, tiga kes Rafizi yang didapati bersalah telah dipadam. Hatta hukuman juga boleh diubah daripada penjara kepada berkelakuan baik. Sebab itu Rafizi boleh bertanding PRU ke-15,” kata Puad dalam satu hantaran di media sosial.
Dakwa Puad, semasa persekongkolan itulah ramai pemimpin Umno termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dikenakan puluhan tuduhan.
“Bahkan Najib ada kes SRC 1 dan 2. Enam tahun dituduh tanpa dibicara.
“Jangan lupa, (ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) menuduh kes rasuahnya adalah kerana dia jadi mangsa pertuduhan politik oleh (perdana menteri ketika itu) Muhyiddin (Yassin).
“Ingat, semasa berkuasa, kes kamu boleh dicari, tetapi tidak dicari. Kamu cuma padam sahaja,” katanya lagi.
Puad dalam hantaran di Facebook sebelum ini memberi peringatan tajam kepada bekas timbalan presiden PKR itu bahawa kritikannya terhadap kerajaan boleh menyebabkan dia menghadapi pertuduhan mahkamah.
“Takut berakhir dalam penjara. Bakar menteri sudah, berhenti menteri pun sudah. Jangan bakar lebih-lebih. Kes boleh dicari,” tulis Puad yang menimbulkan reaksi segera pelbagai pihak.
Membalas kenyataan itu, Rafizi tampil tegas dan tidak gentar.
Dalam satu kenyataan penuh sindiran dan perincian, dia mengingatkan bahawa dirinya sudah pun pernah dijatuhkan hukuman penjara — bukan di bawah kerajaan perpaduan, tetapi semasa era pentadbiran BN yang turut melibatkan Puad sendiri sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ketika itu.

“Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya tidak pernah campur tangan dalam urusan perolehan sepanjang saya menjadi menteri,” kata Rafizi yang turut menegaskan beliau tidak pernah diugut mahupun dipanggil oleh mana-mana agensi siasatan semasa dalam kerajaan.
Kontroversi itu kemudiannya menarik perhatian Wan Saiful, yang menyifatkan kenyataan Puad sebagai bukti bahawa kerajaan kini memperkudakan institusi penguatkuasaan untuk kepentingan politik.
Lebih mengejutkan, Wan Saiful mendakwa dirinya pernah ditawarkan “penghapusan kes” sebagai imbuhan untuk menyokong Perdana Menteri Seri Anwar Ibrahim.

“Itulah tawaran yang diberi kepada saya semasa saya dipujuk untuk lompat parti tahun lepas,” kata Wan Saiful, yang kini berdepan 20 pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.
Wan Saiful kemudian mempersoalkan, “Jika kes boleh dicari, tidak mustahil kes juga boleh dipadamkan. Siapa yang bagi arahan? Siapa yang laksana arahan?”
Puad sebelum ini turut menyindir kemungkinan gandingan baru antara Rafizi, dan bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Wan Saiful dan Syed Saddiq dalam blok pembangkang — namun menyindir, “Siapa jadi presiden? Siapa yang akan mengalah?”


