Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim akan berkhidmat sebagai pemangku ketua hakim negara sehingga kekosongan itu diisi, kata Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.
Katanya langkah itu selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan, dan Seksyen 9 (1) (b) serta Seksyen 9 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Hakim Besar Malaya akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan ketua hakim negara (termasuk fungsinya di bawah perlembagaan) sehingga jawatan tersebut diisi,” kata pendaftar itu dalam satu kenyataan pagi ini.
Jawatan Ketua Hakim Negara kini kosong ekoran persaraan wajib Tengku Maimun Tuan Mat mulai 1 Julai lalu.
Selain Tengku Maimun, seorang lagi hakim kanan yang bersara – mulai semalam – ialah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.
Beberapa bulan akan datang menyaksikan persaraan beberapa lagi tokoh kanan kehakiman termasuk Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Yusof, dan Hanipah Farikullah.
“Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.
Hasnah bersara wajib apabila berusia 66 tahun pada 15 Mei lalu dan perkhidmatannya disambung selama enam bulan hingga 14 Nov ini.

