Pemecatan Syaiful Rizal Abdul Ghani sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Yayasan Bank Rakyat (YBR) dua bulan lalu tidak tamat begitu saja.
Kes itu dibawa ke mahkamah dengan tuntutan ganti rugi lebih RM36 juta.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu, Syaiful Rizal dan empat lagi plaintif mendakwa mereka dipecat secara mengejut, tanpa alasan yang sah dan tanpa mematuhi tatakelola pengurusan.
“Punca kuasa pelantikan saya adalah daripada Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Rakyat, tetapi perkhidmatan saya telah ditamatkan oleh jawatankuasa eksekutif yang baru ditubuhkan.
“Sedangkan menurut undang-undang, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih peranan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rakyat,” katanya.
Selain Syaiful Rizal, plaintif-plaintif lain ialah Ketua Bahagian Operasi Mohd Mukhti Abd Rahman, Ketua Sekretariat Mohamad Ghazali Zainal Abidin, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat Khairul Na’im Aripan @ Arifin dan Pengurus Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Muhamad Johary Abdul Jalil.
Kesemua mereka adalah bekas pegawai kanan Syaiful Rizal.
“Tindakan yang dikenakan bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional, malah mencemarkan integriti institusi seandainya dapat dibuktikan bahawa pihak Bank Rakyat mempunyai motif untuk berkonspirasi dalam pemecatan,” katanya pada sidang media di ibu negara pada Isnin lalu.

Sementara itu, menurut writ saman yang dilihat Malaysiakini, plaintif juga mendakwa wujud konspirasi tort untuk mencederakan mereka (tort of conspiracy to injure).
Bagaimanapun dakwaan itu tidak dihuraikan.
Mereka justeru menuntut mahkamah mengisytiharkan penamatan kontraknya tidak sah selain pelbagai jenis ganti rugi.
Syaiful Rizal sebagai plaintif pertama menuntut lebih RM4 juta daripada Yayasan Bank Rakyat dan Bank Rakyat, antaranya gaji hampir tiga tahun berjumlah RM1.3 juta, elaun perubatan RM1.44 juta serta bonus tiga tahun hampir RM1 juta.
Mukhti pula membuat tuntutan paling besar lebih RM15 juta, termasuk gaji hingga persaraan bernilai RM9.4 juta, bonus tahunan (RM5 juta) serta cuti tahunan tidak digunakan (RM895,000).
Ghazali pula memohon ganti rugi RM3 juta, termasuk bonus tahunan untuk 10 tahun (RM1.5 juta), elaun bulanan (RM285,000) dan cuti tidak digunakan (RM248,000).
Khairul Na’im menuntut lebih RM9 juta. Tuntutan merangkumi gaji sehingga persaraan dalam tempoh 22 tahun bernilai RM6.7 juta, bonus (RM1.9 juta) dan cuti tidak digunakan (RM638,000).
Muhamad Johary pula menuntut lebih RM3 juta, antaranya meliputi gaji RM2 juta, bonus prestasi (RM983,000) dan elaun bulanan (RM206,000).
Saman itu difailkan oleh tetuan Tetuan Amelda & Partners.

Turut lapor polis
Pada 18 April lalu, Syaiful Rizal membuat laporan polis mendakwa laporan akhir audit yang diterimanya bersifat berniat jahat dan mengelirukan.
“Amat membimbangkan jika jabatan audit sebuah bank boleh menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” dakwanya.
Syaiful mendakwa laporan itu tidak konsisten dengan exit meeting (mesyuarat terakhir sebelum meninggalkan yayasan) pada 24 Mac apabila semua persoalan audit dijawab tanpa bantahan.
Malaysiakini telah beberapa kali menghubungi Yayasan Bank Rakyat dan CEO-nya Noor Aeiza Hassan bagi mendapatkan komen dan masih menunggu maklum balasnya.

