malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AG: Najib gagal tunjuk usaha wajar dapatkan titah adendum
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan bahawa Najib Razak gagal menunjukkan usaha wajar bagi mendapatkan dokumen tambahan (adendum) ketika prosiding permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dalam hujahnya berkata bekas perdana menteri itu mempunyai segala peluang untuk memperoleh dokumen berkenaan ketika permohonan semakan kehakiman difailkan, namun gagal berbuat demikian.

Titah Adendum berkenaan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membolehkan bekas ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dia berkata anak responden, iaitu Mohamad Nizar yang juga Exco Pahang, boleh sahaja mendapatkan adendum itu dengan usaha wajar yang munasabah memandangkan dia sering menghadiri mesyuarat dan menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.

“Bagaimanapun, dokumen itu hanya diperoleh selepas keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan, iaitu yang menolak kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman oleh Najib,” katanya.

“Kegagalan mematuhi syarat ini menjadikan permohonan untuk mengemukakan bukti baru tidak boleh diterima,” katanya pada prosiding rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baru.

Mohamad Nizar Najib

Mohd Dusuki turut berhujah bahawa keputusan minoriti Mahkamah Rayuan adalah tepat apabila mendapati tiada usaha wajar dilakukan oleh pihak responden.

“Malah, responden juga tidak cuba menghubungi pihak Istana Pahang untuk mengesahkan kesahihan adendum yang didakwa dilampirkan pada perintah utama bertarikh 29 Januari 2024.

“Walaupun berada di Penjara Kajang, responden dibenarkan menggunakan kemudahan yang tersedia untuk berhubung dengan pihak berkuasa. Dia yang mendakwa kewujudan dokumen tersebut perlu membuktikannya,” katanya.

Dia juga menyifatkan permohonan semakan kehakiman Najib hanya berasaskan khabar angin kerana bukti yang dikemukakan tidak mencapai tahap kebolehpercayaan minimum untuk diterima sebagai bukti baru.

sementara itu, peguam yang mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa Pejabat Peguam Negara sebenarnya sudah mengetahui kewujudan titah adendum itu kerana ia telah dialamatkan kepada bekas Peguam Negara yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pendengaran rayuan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim, dan bersidang bersama-sama Zabariah Mohd Yusof serta Hanipah Farikullah akan bersambung pada 9 Julai ini.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berkaitan kes SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan permohonan semakannya.

Pada Februari tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen