Kumpulan aktivis mahasiswa Federasi Pemuda Kebangsaan (Federasi) menasihati Ketua Pemuda PKR (AMK), Kamil Munim agar berhenti berdolak-dalik berhubung cabaran debat yang dia sendiri lontarkan berkaitan aksi pembakaran karikatur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam Himpunan Gempur Rasuah 2.0 di Sabah pada 21 Jun lalu.
Menurut kumpulan tersebut, Kamil telah mencabar peserta himpunan agar tampil berdebat secara terbuka selepas tindakan membakar karikatur Anwar menjadi tular pada 22 Jun.
Cabaran itu kemudiannya disahut oleh aktivis Borneo Komrad, Mukmin Nantang, yang menyatakan kesediaannya untuk menyertai debat atau forum bagi merungkai isu berkenaan.
“Mungkin dia fikir ini masa yang sesuai untuk dia menonjol. Ingat mukanya ni, pasti akan datang dia akan jadi calon PKR lagi. Itu sebab dia jilat habis-habis Anwar. Kalau lebih lagi jilat silap-silap jadi menteri.
“Mari saya yang tampil. Atur debat atau forum,” kata Mukmin yang dipetik kumpulan aktivis berkenaan.

Namun, menurut kumpulan itu, apabila mereka menghubungi Kamil pada 23 Jun untuk menyampaikan sahutan Mukmin secara rasmi, dia hanya membalas ringkas dengan ucapan “wasalam” tanpa sebarang pengesahan lanjut.
“Tapi kemudian dia muncul semula bukan untuk menyahut, tapi untuk mengadu di media kononnya tiada siapa menyambut cabarannya.
"Ini bukan keliru. Ini hipokrasi belaan Anwar. Cabar orang, tapi bila disahut terus mengelak. Bacul, culas dan tidak bermaruah,” katanya.
Sebelum ini, AMK dilaporkan bersedia mengadakan pertemuan dengan aktivis mahasiswa dan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah bagi membincangkan isu-isu berbangkit.
Kamil turut memaklumkan pihaknya telah menghubungi wakil kumpulan tersebut, Brendon Gan, namun belum menerima maklum balas lanjut.
Mengulas lanjut, Federasi berkata, mereka akan kembali menghubungi kedua-dua pihak untuk memastikan debat terbuka itu dapat diadakan.
“Kali ini kami harap saudara Kamil tidak berlaku kecut lagi,” tambahnya.
Terdahulu, aksi membakar karikatur Anwar berlangsung ketika penghujung protes mahasiswa UMS terhadap isu rasuah di Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Jun lalu.
Karikatur Anwar yang dibakar itu turut disertakan dengan kata-kata “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.
Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang tersebut melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar yang didakwa mereka gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.