Kumpulan belia bebas, Mandiri mengecam siasatan terhadap aktivis Hishamuddin Rais berhubug ucapannya dalam himpunan aman Rakyat Benci Rasuah 2.0 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Jurucakap Mandiri, Wong KuKui menyifatkan siasatan itu sebagai tidak berasas dan bermotif politik, serta bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap rakyat berhak mengkritik pemerintahan sejajar dengan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“(Perdana Menteri) Anwar Ibrahim perlu berhenti menggunakan wang cukai rakyat yang membayar gaji penguat kuasa untuk membungkam suara-suara yang menyinggung perasaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan polis merakam keterangan Hishamuddin selama satu jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini atas beberapa dakwaan termasuk kerana mengaibkan Anwar.
Hishamuddin disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Peguamnya yang juga penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran berkata, asas utama rakaman keterangan terhadap anak guamnya itu adalah kerana dakwaan mengaibkan Anwar.
Mengulas lanjut, Wong berkata Mandiri menggesa siasatan terhadap Hishamuddin Rais dihentikan serta-merta dan meminta kerajaan menghentikan penggunaan undang-undang bagi tujuan menyekat kritikan terhadap kepimpinan negara.
Wong menegaskan kritikan terhadap Anwar bukanlah satu kesalahan jenayah.
“Suara rakyat tidak akan dapat dibungkam. Lawan tetap lawan!” katanya lagi.
Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 mengundang perhatian apabila ia menjadi kecoh susulan seorang peserta menyalakan suar berwarna merah.
Insiden berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika program hampir tamat, apabila seorang peserta menyalakan suar sebaik sahaja seorang aktivis mahasiswa, Ahsanul Akmal Muhamad Sulam selesai berucap.
Aksi itu menyebabkan seorang anggota polis cuba campur tangan dengan merampas suar berkenaan, namun berlaku kekecohan apabila Ahsanul mendakwa dia dikasari.

