malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM siasat taikun dikaitkan dengan pemberi maklumat skandal Sabah
Diterbitkan:  Jul 2, 2025 5:38 PM
Dikemaskini: 12:40 PM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap seorang taikun dari Singapura yang didakwa mempunyai kaitan dengan Albert Tei, individu yang membocorkan maklumat dalam skandal rasuah di Sabah.

Agensi itu merujuk kepada satu artikel yang didakwa menggambarkan taikun berkenaan sebagai pihak yang membiayai Tei dalam memberikan rasuah kepada pemimpin Umno Sabah, selain memaklumkan mereka sedang berusaha untuk mengesahkan maklumat tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, beberapa saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Sejak November lalu, Tei menyerahkan pelbagai video, dokumen dan tangkap layar mesej WhatsApp membabitkan beberapa Adun Sabah kepada SPRM.

Ahli perniagaan itu mendakwa dia membayar rasuah kepada Adun terbabit sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.

Pada Isnin (30 Jun), Tei didakwa di mahkamah atas tuduhan merasuah Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy, serta Adun Sindumin, Yusof Yacob, bagi mendapatkan bantuan berkaitan lesen berkenaan.

Andi didakwa menerima wang tunai sebanyak RM150,000 daripada Tei sebagai balasan kerana membantu memudahkan permohonan lesen perlombongan bagi Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Sementara itu, Yusof didakwa menerima RM200,000 dalam bentuk tunai daripada Tei sebagai sogokan yang didakwa bertujuan untuk membantu memproses lesen perlombongan bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.

Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) daripada Parti STAR dan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut dikaitkan dalam skandal rasuah yang menggoncang pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurut satu sumber, Malaysiakini menerima beberapa tangkap layar yang dipercayai diambil daripada rakaman video membabitkan enam pemimpin tersebut, yang dikatakan melibatkan jumlah keseluruhan RM3.96 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen