malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Saiful jawab Puad - Tidak mustahil kes juga boleh dipadam
Diterbitkan:  Jul 2, 2025 4:53 PM
Dikemaskini: 9:07 AM
ADS

Kes bukan sahaja boleh dicari, tetapi juga boleh dipadamkan, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan ketika mengulas kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang sebelum ini memberi amaran kepada pemimpin PKR, Rafizi Ramli, mengenai kemungkinan implikasi undang-undang jika dia itu terus mengkritik kerajaan.

Malah, kata Wan Saiful, dia mempunyai pengalaman peribadi dalam perkara tersebut.

“Itulah tawaran yang diberi kepada saya semasa saya dipujuk untuk lompat parti tahun lepas,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Wan Saiful merujuk kepada dakwaannya, sebelum ini bahawa dua ahli parlimen Umno, Mohd Azizi Abu Naim dan Zulkafperi Hanapi, cuba memujuknya supaya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui sogokan dan ugutan.

Antara bentuk pujukan tersebut, katanya, termasuk dakwaan bahawa kerajaan boleh menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya. Ketika ini, Wan Saiful sedang dibicarakan atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berkaitan projek Jana Wibawa.

Wan Saiful berkata, ugutan Puad terhadap bekas menteri ekonomi itu hanya mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan sedia ada menggunakan agensi penguatkuasaan untuk memenuhi agenda politik mereka.

“Sudah dua hari Puad ugut Rafizi bahawa ‘jangan bakar lebih-lebih. Kes boleh dicari’.

“Saya anggap kenyataan Puad ini memperkukuh persepsi bahawa kerajaan hari ini bermaharajalela memperkudakan agensi penguatkuasa untuk tujuan politik,” katanya.

Menurut Wan Saiful, jika kes boleh dicari, maka tidak mustahil kes juga boleh dipadamkan dan seterusnya mempersoalkan siapa yang mempunyai kuasa menentukan sedemikian.

“Maksudnya boleh ada yang akan diarahkan untuk mencari. Siapa yang boleh bagi arahan? Siapa yang boleh laksana arahan?

“Satu demi satu kerosakan kepada institusi yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN dibongkar,” katanya.

Rafizi sebelum ini membalas kenyataan Puad dengan berkata dirinya tidak gentar dan mengingatkan bahawa satu-satunya masa dia pernah diheret ke mahkamah adalah ketika pentadbiran kerajaan BN.

Pada 27 Jun lalu, Rafizi mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan untuk menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah reaksi tergesa-gesa kerajaan selepas kritikan dalam media sosial terhadap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Pandan itu, yang melepaskan jawatan kabinet selepas tewas dalam pemilihan PKR, dipercayai merujuk kepada reaksi warga maya terhadap satu hantaran Fahmi di platform X yang memaparkan klip dirinya menegaskan bahawa RMK13 merupakan usaha kolektif, bukan hasil kerja individu atau kementerian tertentu.

Fahmi, yang juga ketua penerangan PKR, menerima kecaman susulan kenyataannya itu, dengan beberapa pengguna media sosial menekankan bahawa walaupun rancangan tersebut melibatkan pelbagai kementerian, kementerian ekonomi yang diterajui Rafizi ketika itu telah menerajui penyediaan dokumen tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen