Pemuda PKR (AMK) bersedia mengadakan pertemuan dengan aktivis mahasiswa dan kumpulan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah bagi sesi perbincangan isu-isu berbangkit.
Ketua AMK Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya ada berhubung dengan wakil kumpulan itu, Brendon Gan, tetapi belum mendapat maklum balas lanjut setakat ini.
“Saya memang dah lama minta kawan-kawan aturkan dan berurusan Brendon sendiri berkenaan pertemuan dan perbincangan.
“Cuma masih belum ada maklum balas. Yang terakhir diminta berdebat.
“Saya nak anjurkan pertemuan dulu. Saya nak faham apa sebenarnya yang marah sangat ni,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Maszlee Malik meminta sayap pemuda parti itu "menurunkan ego" mereka dan bersemuka dengan penunjuk perasaan di Sabah yang bertindak membakar karikatur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Menggelarkan kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sebagai 'siswa bako-bako', Maszlee berkata, pertemuan di antara pemimpin Pemuda PKR - yang pernah menjadi aktivis mahasiswa dan berdemonstrasi itu - perlu bagi membincangkan salah faham serta mengetahui kemahuan mereka.
Pada masa sama bekas menteri pendidikan itu juga menghantar mesej kepada aktivis pelajar yang menzahirkan rasa marah mereka kepada kerajaan dan Anwar.
Kata Maszlee, sebagai orang yang pernah melalui zaman muda, dia terbuka untuk menemui mereka bagi membincangkan isu yang mengundang rasa marah kumpulan terbabit.
Terdahulu aksi membakar karikatur Anwar yang berlaku di akhir bantahan pelajar UMS berkenaan terhadap isu rasuah yang diadakan di Kota Kinabalu, pada 22 Jun lalu.
Karikatur Anwar yang dibakar itu turut disertakan kenyataan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.
Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang tersebut melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar yang didakwa mereka gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.

