Rancangan bersama Putrajaya dengan Indonesia untuk meneroka minyak dan gas di Blok Ambalat yang menjadi pertikaian mesti dibahaskan di Dewan Rakyat, kata Perikatan Nasional.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin mengingatkan kerajaan supaya tidak membuat keputusan sedemikian secara tergesa-gesa, terutamanya apabila negara jiran itu menuntut hak ke atas wilayah maritim Malaysia.
"Kedaulatan dan kepentingan Malaysia ke atas segenap inci wilayah negara, khususnya di kawasan maritim strategik di Blok Ambalat, yang kaya dengan simpanan minyak serta gas asli, wajib dipertegas dan dipertahankan.
"Langkah membuat pembangunan bersama secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar.
"Sehubungan itu, Perikatan Nasional menuntut butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini,” katanya.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Indonesia harus meneruskan pembangunan bersama kawasan Ambalat yang kaya dengan minyak tanpa menunggu untuk menyelesaikan isu perundangan dan kawal selia.
Kenyataan Anwar sejak itu telah mendapat kritikan hebat terutamanya daripada pemimpin Sabah, yang mempersoalkannya kerana membuat keputusan itu tanpa berunding dengan negeri.

