malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maklumat tak cukup dalam laporan Putra Heights membimbangkan - MCA
Diterbitkan:  Jul 2, 2025 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

MCA menyuarakan kebimbangan berhubung laporan akhir pihak berkuasa mengenai letupan saluran paip gas Putra Heights di Subang, Selangor.

Naib Presiden MCA, Lawrence Low laporan itu tidak menyentuh berkaitan kawasan berisiko tinggi lain walaupun mendedahkan bahawa keadaan serupa wujud di sepanjang 2,680km saluran paip di seluruh negara.

“Laporan Petronas mengenal pasti punca-punca seperti mendapan geologi, sokongan tanah yang lemah dan keletihan struktur. Ia juga mendedahkan keadaan serupa turut berlaku di sepanjang 2,680km saluran paip di negara ini.

“Apa yang tidak dinyatakan ialah penilaian jelas mengenai kawasan mana, termasuk USJ yang paling berisiko. Ketiadaan maklumat ini hanya menambah kebimbangan awam, dan kelemahan laporan ini amat ketara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lawrence Low

Semasa sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Isnin, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat mengumumkan paip terbabit tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya akibat beban berulang.

Perkara itu, katanya menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan yang pecah dan mencetuskan kebakaran.

Pada sidang media sama, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sementara itu, Low berkata kegagalan laporan tersebut mengisytiharkan kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan penduduk tidak mengetahui tahap keselamatan kawasan tempat tinggal mereka.

Tambah Low, laporan tersebut juga tidak mengandungi data teknikal penting seperti keadaan tanah, ukuran pergerakan tanah, dan anomali tekanan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap ketelitian siasatan yang dijalankan.

“Ketiga, ia mengabaikan kesan kerja-kerja pembangunan sekitar terhadap kestabilan saluran paip, faktor kritikal di kawasan perbandaran matang seperti USJ.

“Dan akhirnya, tiada sebarang sebutan tentang sistem amaran awal atau tanda-tanda amaran yang mungkin telah dikesan sebelum insiden Putra Heights,” tambahnya.

Sehubungan itu, Low turut mencadangkan beberapa langkah penyelesaian kepada kerajaan dan Petronas dalam menangani isu tersebut:

Menjalankan audit keselamatan saluran paip gas di Selangor serta memeriksa kawasan berisiko tinggi seperti USJ dan mendedahkan penemuan secara terbuka.

Menubuhkan platform pertanyaan dan talian hotline untuk membolehkan penduduk menyemak kedudukan saluran paip dan tahap risikonya.

Melaksanakan taklimat dan latihan keselamatan secara berkala bersama komuniti.

Menggunakan sistem pemantauan pintar sepanjang saluran paip bagi membolehkan pemantauan masa nyata dan amaran kecemasan.

Menubuhkan dana keselamatan komuniti untuk membantu penduduk yang berisiko dengan sokongan perpindahan, pembaikan dan bantuan kecemasan.

Menurut Low, ketakutan awam berpunca daripada kemungkinan sebenar bahawa terdapat “bom jangka” lain yang masih wujud di bawah tanah.

“Sebagai pengerusi MCA Selangor, kami akan terus mendesak pertanggungjawaban. Sesi libat urus bersama penduduk sedang dirancang, dan satu kertas putih akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga bagi menuntut semakan legislatif menyeluruh terhadap piawaian keselamatan saluran paip di Selangor,” tambahnya.

Pada 1 April, kebakaran besar yang melibatkan saluran gas Petronas menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap sekitar menjadi kawah besar.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir lapan jam.

Kira-kira 146 mangsa dibawa ke hospital dan klinik untuk rawatan, manakala Bernama melaporkan 219 rumah mengalami kerosakan.

Susulan itu, pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melancarkan siasatan untuk menentukan punca letupan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen