malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN l Isu ketua hakim: Naratif Anwar longgar, abai hujah undang-undang
ADS

ULASAN l Tulisan ini hakikatnya dihasilkan kerana secara kebetulan saya terbaca dan terdengar beberapa ulasan para penyokong Anwar dan kerajaan Madani yang berusaha sedaya upaya untuk membawa naratif mengapa tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat tidak dilanjutkan.

Secara mudah dan ringkas naratif tersebut adalah "ketua hakim negara bukan dipecat atau dibuang sebaliknya tempoh perkhidmatan jawatannya sudah tamat dan tempoh itu tidak dilanjutkan kerana lanjutan tempoh enam bulan itu bukan bersifat automatik!"

Maaf jika saya kata naratif itu secara intipatinya hanya mengulang justifikasi yang diguna pakai oleh Anwar sendiri.

Malangnya dan dengan penuh hormat, ada beberapa masalah kepada naratif tersebut baik dari segi isi (content) naratif tersebut atau dari segi para penyampai atau para pembawa mesej (messengers) naratif tersebut.

Suka atau tidak suka isu ini ada kaitan dengan isu perundangan, guaman dan perlembagaan. Lalu mengapa? Mungkin ada yang bertanya.

Jurang amat besar

Jika kita ikuti isu ini secara lebih dekat kita boleh lihat ada dua jurang yang amat besar di pihak- pihak yang bertelagah.

Di satu pihak iaitu pihak yang mengkritik keputusan Anwar dan kerajaan Madani tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun.

Kita lihat - mereka adalah golongan yang boleh dikatakan amat arif dan pakar dalam isu perundangan. Misalnya mereka itu adalah bekas menteri undang- undang (Zaid Ibrahim), mantan para pengerusi Majlis Peguam termasuk mantan peguam Anwar) (masa itu belum jadi PM lagi) iaitu Zainur Zakaria, pertubuhan Hakam (NGO hak asasi manusia) dan wakil rakyat dari DAP sendiri iaitu Ramkarpal Singh yang juga bekas timbalan menteri undang-undang dan pernah menjadi peguam kepada Anwar sendiri. Mereka bukan sahaja peguam tetapi peguam senior.

Pihak mereka berhujah dengan menggunakan ilmu dan kepakaran mereka. Sebab itu saya telah menulis bahawa tidak timbul mereka ingin melobi mana-mana hakim seperti yang cuba dibawa naratif itu oleh setengah pihak yang lain.

Malangnya keadaan yang sama tidak berlaku di sebelah pihak yang cuba membawa naratif perdana menteri dan kerajaan Madani.

Saya lihat hampir majoriti dari ejen penyampai naratif tersebut bukan terdiri dari kalangan mereka yang ada latar belakang ilmu undang-undang, guaman atau perlembagaan. Justeru itu hujah mereka - kerap kali - tidak bersandar kepada fakta dan ilmu atau disiplin perundangan malahan kadangkala fakta pun tidak begitu tepat!

Ampu dan bodek

Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan hujah mereka lebih dipengeruhi emosi dan sentimen dan maaf, mungkin juga elemen ampu dan bodek!

Sejujurnya saya kasihan kepada mereka kerana mereka cuba untuk mempertahankan sesuatu yang sejak dari awal memang begitu sukar untuk dipertahankan.

Adalah jelas hanya faktor ini sahaja sebenarnya sudah cukup untuk kita membuat penilaian jujur hujah pihak mana yang relatifnya lebih kuat.

Jika saya boleh bawa analogi, ia ibarat perlawanan bola antara katakan kelab Real Madrid lawan pasukan bola di kampung. Belum lawan lagi pun mungkin kita sudah boleh duga siapa yang akan menang.

Dihujahkan oleh naratif penyokong Anwar dan kerajaan Madani bahawa ketua hakim negara bukan dipecat atau dibuang sebaliknya tempoh perkhidmatan beliau sudah tamat (mencapai umur persaraan wajib) dan tempoh itu tidak dilanjutkan kerana lanjutan tempoh enam bulan itu bukan bersifat automatik.

Sebenarnya jika kita jujur , isu ini tidak berbangkit sama sekali.

Ia fakta yang tidak dipertikaikan. Ya, benar pelanjutan tempoh enam bulan itu tidak automatik. Tidak ada yang pertikaikan. Lagipun, itu peruntukan Perlembagaan.

Tidak bersih?

Justeru , jika itu hujahnya soalan mudah saya “mengapa ada enam orang hakim Mahkamah Persekutuan yang status mereka adalah sama seperti ketua hakim negara boleh pula diberi tempoh lanjutan perkhidmatan?”

Begitu juga kedudukan Hakim Abang Iskandar (Presiden Mahkamah Rayuan) dan hakim Nallini - kenapa masih belum dilanjutkan?

Adakah kerana prestasi ketiga- tiga hakim itu tidak memberangsangkan atau kerana mereka tidak bersih atau terbabit dengan rasuah misalnya?

Itu isu pokok dalam perkara ini yang malangnya tidak didiskusikan baik oleh Anwar atau para penyokongnya.

Sebagai peguam litigasi hampir 25 tahun menjalankan amalan guaman secara aktif di mahkamah saya berani mengatakan mereka bertiga adalah antara para hakim terbaik yang negara ini pernah lahirkan.

Ilmu dan integriti mereka padat dan mantap.

Tidakkah para penyokong naratif Anwar dan kerajaan Madani melihat wujudnya amalan diskriminasi atau elemen berat sebelah atau "selective extension" di dalam kes mereka bertiga?

Ya, benar dalam perlembagaan tidak ada sebarang peruntukkan yang menyatakan lanjutan tempoh perkhidmatan hakim mahkamah persekutuan atau ketua hakim negara akan secara automatik dilanjutkan selepas mereka mencapai umur persaraan wajib.

Amalan berpilih atau PM tiada kuasa

Jika itu hujahnya, saya ingin katakan begini. Ada atau tidak sebarang peruntukkan dalam perlembagaan Persekutuan tentang jawatan timbalan perdana menteri (TPM)? Jawabnya tiada.

Tetapi kenapa TPM sekarang ini boleh pegang jawatan tersebut?

Di sinilah kita perlu tahu satu istilah dalam undang-undangperlembagaan iaitu "constitutional conventions" atau amalan perlembagaan .

Saya tidak akan bahas istilah itu di sini. Dikhuatiri nota ini akan menjadi terlalu panjang.

Secara mudahnya amalan perlembagaan ini termasuklah amalan melanjutkan tempoh perkhidmatan ketua hakim negara selama enam bulan.

Ia bukan amalan yang baru atau asing. Ia telah berlaku sebelum ini. Ya, sudah ada “precedent”.

Dan melanjutkan tempoh perkhidmatan enam orang hakim mahkamah persekutuan yang lain itu juga kerana amalan perlembagaan yang sana.

Isunya kenapa amalan itu dilihat ada unsur “amalan berpilih”?

Akhirnya dihujahkan juga " PM tidak ada kuasa mutlak dalam isu ini. Ia ditentukan oleh pihak lain iaitu Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC)".

Hakikatnya di negara ini tidak ada mana-mana entiti yangbenar-benar ada kuasa mutlak seratus peratus dalam semua hal .

Ini fakta.

Hatta dalam skim perlembagaan, kuasa prerogatif atau budi bicara tunggal Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja yang boleh dikira bersifat mutlak hanya dalam keadaan-keadaan tertentu dan ia amat terhad dan tidak banyak.

Ini tidak pelik kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Dalam banyak keadaan hatta kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan setelah perdana menteri memberi nasihat. Dan menurut pakar perlembagaan nasihat perdana menteri itu perlu dituruti.

Justeru bagaimana boleh timbul isu PM tidak ada kuasa?


MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah bekas timbalan menteri undang- undang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen