Umno sedang mempersiapkan jentera pilihan rayanya di Sabah untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang – yang menurut orang dalaman parti itu – dijangka diadakan pada Sep ini.
Sumber yang rapat dengan kepimpinan tertinggi Umno berkata, baru-baru ini pemimpin parti diberi isyarat untuk mempertingkatkan persiapan masing-masing, termasuk dengan menyediakan kursus kepada jentera di peringkat akar umbi.
Ia dikatakan bermula semalam di Sandakan dan berlangsung selama dua hari.
"Pemimpin parti telah menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah mungkin akan dibubarkan tidak lama lagi, dengan PRN dijangka pada akhir Sept," kata sumber Umno yang tidak mahu namanya disiarkan itu.
Berdasarkan kepada tarikh PRN sebelum ini, tempoh mandat untuk DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov, tetapi timbul spekulasi bahawa Ketua Menteri Hajiji Noor mungkin membubarkannya bulan depan bagi membolehkan PRN diadakan lebih awal.
Selain faktor politik, difahamkan pentadbiran GRS perlu mengambil kira faktor lain untuk merangka pelaksanaan PRN termasuk musim Monsun Timur Laut dari Nov hingga Mac tahun depan yang membawa hujan lebat terutama di bahagian timur negeri terbabit.
Malaysiakini mendapat tahu bahagian pengambilan dan latihan Umno yang diketuai oleh naib presidennya Wan Rosdy Wan Ismail telah ditugaskan untuk mengetuai program latihan untuk jentera pilihan raya di Sabah.
Wan Rosdy melancarkan siri pertama kursus Get Out The Voters di Sandakan semalam. Ia melibatkan kira-kira 200 ahli dan petugas pilihan raya Umno dari dua zon.
“Kursus itu menekankan latihan amali empat komponen utama pilihan raya iaitu PACABA, sistem teknologi maklumat, jentera tinjauan pendapat dan logistik.
“Peserta diberi latihan tentang cara mengurus persepsi, simulasi hari pengundian, dan cara mengendalikan sistem bank data pengundi,” kata seorang pegawai parti.
Umno Sabah dijadual mengadakan latihan serupa di bahagian lain di negeri itu dalam beberapa minggu mendatang, dengan sesi terdekat akan diadakan di Kota Kinabalu esok.
Umno juga sudah memutuskan untuk menunda perhimpunan agung tahunan parti itu – dari Ogos kepada Nov – sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRN.

