malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis giat kesan empat suspek bakar lima kenderaan mewah di Shah Alam
ADS

Polis giat mengesan empat lelaki disyaki terlibat membakar lima kenderaan mewah dalam kejadian di Bandar Tropicana Aman, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat di Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat kebakaran kenderaan pada 6.45 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemilik kenderaan seorang lelaki, yang ketika kejadian mangsa dan keluarganya tiada di rumah.

“Siasatan mendapati empat suspek lelaki membakar kereta milik mangsa dan polis kini giat mengesan suspek terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmalrizal berkata insiden itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM1.6 juta termasuk kerosakan pada bahagian hadapan rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata kejadian itu menyebabkan lima kenderaan yang di letakkan di hadapan rumah teres dua tingkat terbakar 90 peratus.

Beliau berkata kebakaran turut melibatkan bahagian hadapan dua rumah teres, anggaran lima hingga 10 peratus.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen