Adun-Adun pembangkang akan membangkitkan isu kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights dalam sidang DUN Selangor yang akan datang.
Menurut Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, perkara itu dibangkitkan kerana laporan kerajaan mengenai insiden tersebut gagal menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan pembangkang, termasuk permintaan untuk maklumat terperinci berkaitan kerja pemantauan dan penyelenggaraan oleh Petronas.
"Kami juga menegaskan supaya jangan melihat dari aspek komersil sahaja tetapi juga prinsip kemanusiaan dan keselamatan nyawa manusia.
"Malangnya, laporan yang dikeluarkan tidak menjawab semua persoalan ini. Maka, Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor akan membangkitkan perkara ini dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada 7 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan ini menyusul selepas laporan Bernama yang menyatakan polis mengklasifikasikan siasatan insiden tersebut sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas mendapati tiada unsur kecuaian atau sabotaj.
Letupan besar pada 1 April lalu melibatkan saluran paip gas milik Petronas, dengan api menjulang lebih 30 meter ke udara dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, menyebabkan kawasan sekeliling terbakar dan membentuk kawah besar.
Kebakaran hanya berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir lapan jam.

Seramai 146 mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik, manakala laporan menyebut 219 buah rumah mengalami kerosakan.
Dalam kenyataannya, Azmin sekali lagi menggesa agar sidang khas DUN diadakan bagi membahaskan tragedi itu serta menyiasat punca kejadian.
"Kita mendesak Sidang Dewan Khas untuk membahaskan insiden ini dan punca berlakunya insiden ini. Kami mahu menggali kecuaian dan kelemahan dalam proses kelulusan samada di peringkat PBT atau Kerajaan Negeri," katanya.
Azmin turut merujuk kenyataannya pada 2 April lalu, di mana dia menggesa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, supaya memanggil sidang khas DUN bagi membincangkan insiden tersebut.
Katanya, tindakan itu boleh dilakukan di bawah Peraturan Tetap 10(3) DUN Selangor, yang membenarkan Speaker memanggil persidangan semasa penangguhan jika Menteri Besar memaklumkan bahawa ia perlu demi kepentingan awam.

Pada masa itu, Azmin juga menggesa agar hasil siasatan insiden dibentangkan dan dibahaskan di DUN.
Semalam, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) memaklumkan bahawa saluran paip yang terlibat dalam letupan tersebut tidak disokong sepenuhnya oleh tanah (unsupported segment) yang dikenal pasti lembut dan lembap.
Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, perkara itu mengakibatkan kegagalan fizikal (physical failure) pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, turut mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mencadangkan langkah susulan serta tindakan pencegahan.

