malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN bentang pindaan PAA di parlimen bulan ini
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 9:37 PM
Dikemaskini: 1:44 PM
ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dalam sidang parlimen Julai ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan Madani sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran perlembagaan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara.

Katanya isu kebebasan berhimpun diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku peneraju utama agenda reformasi kerajaan dan dia telah mengumumkan keputusan kabinet untuk melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 9(5) PAA sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh undang-undang berkaitan hak berhimpun.

Berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) PAA sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, Saifuddin Nasution berkata KDN mengambil maklum dengan penuh hormat keputusan itu dan akan meneliti untuk tindakan sewajarnya.

Dia berkata antara aspek itu termasuk mempertimbangkan cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan agar ia selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi negara.

“Kerajaan Madani akan terus memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan keperluan menjaga ketenteraman, serta keselamatan awam menjadi keutamaan untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman, teratur dan bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan beberapa peruntukan dalam PAA adalah tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan tiga panel hakim berkata Seksyen 9(5) PAA yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen