Mesyuarat penting yang dijadualkan pada 30 Jun untuk membincangkan tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri gagal diadakan kerana surat jemputan rasmi tidak dihantar.
Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan berkata kabinet negeri sudah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat itu, namun surat dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tidak dikeluarkan tanpa sebab yang jelas.
“Saya telah menulis kepada Ketua Menteri. Kabinet bersetuju untuk adakan mesyuarat pada 30 Jun. Tetapi apabila kami semak, surat itu tidak dihantar. Jadi saya mahu penjelasan,” katanya kepada pemberita semasa Konvensyen Sabah Star di Kota Kinabalu.
Mesyuarat yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada proses rundingan yang sedang berlangsung di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan dengan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri tersebut.
Sabah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Jeffrey Kitingan, berkata pemimpin persekutuan termasuk Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof — yang mempengerusikan jawatankuasa teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 — telah dimaklumkan tentang kesediaan negeri itu semasa satu mesyuarat yang diadakan pada 14 Mac.
Cadangan daripada jawatankuasa teknikal itu sepatutnya dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan Majlis Pelaksanaan MA63, untuk pertimbangan akhir.
Masih tunggu penjelasan
Namun, menurut Kitingan, walaupun telah ada kata sepakat dalaman, tindakan susulan yang sewajarnya tidak diambil.
Jeffrey berkata dia masih menunggu penjelasan rasmi dan tiada tarikh baru ditetapkan sehingga isu ini dijelaskan.
Hak 40 peratus hasil Sabah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kerajaan persekutuan tidak pernah menunaikannya sejak 1974 kerana semakan kewangan wajib setiap lima tahun tidak pernah dibuat.

