malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Letupan Putra Heights: Tiada unsur khianat, kecuaian manusia
ADS

Tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan dalam insiden di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata rumusan itu diperoleh hasil siasatan teknikal yang dilakukan susulan insiden letupan saluran paip gas bawah tanah berkenaan.

Beliau berkata pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas.

“Pembinaan itu berada di zon penampan dengan jarak 40 meter dari paip gas Petronas,” katanya dalam sidang media laporan siasatan insiden letupan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Husdin Che Amat.

Sementara itu, Hussein berkata kerja-kerja pengorekan tanah untuk penggantian paip kumbahan yang dijalankan oleh kontraktor tidak mengakibatkan gangguan kepada paip Petronas secara langsung.

“Paip gas Petronas berada pada kedalaman 5.6 meter dari paras jalan dan terletak 3.5 meter dari paip kumbahan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan semasa kejadian dengan kerja-kerja penggantian paip kumbahan telah berakhir pada 30 Mac 2025.

Mengulas lanjut, Hussein berkata tiada sebarang petunjuk dari segi bacaan tekanan oleh Pusat Kawalan Gas Petronas (PGCC) sebelum kejadian berlaku .

“Bacaan tekanan gas di dalam paip adalah normal dan semasa kejadian, bacaan tekanan gas turun dengan mendadak,” katanya sambil menambah tiada sebarang sisa bahan letupan dijumpai di kawasan insiden.

Hussein berkata siasatan pihak polis meliputi dua aspek iaitu perbuatan khianat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta kecuaian mengikut Seksyen 285 dan 286 kanun yang sama.

Beliau berkata tumpuan siasatan diberikan kepada kerja-kerja pihak kontraktor di kawasan letupan termasuk pembinaan lot-lot kedai dan penggantian paip pembentungan.

“Selain itu, tumpuan siasatan meliputi sebarang aktiviti khianat atau sabotaj oleh mana-mana pihak serta lain-lain (aspek) seperti bom, pembakaran mercun dan sebagainya,” katanya.

Hussein berkata sepanjang siasatan berkenaan, pihak polis telah merakam keterangan 212 saksi berkaitan termasuk mangsa, saksi agensi luar antaranya Petronas dan MBSJ, pemaju serta kontraktor dan pakar-pakar bebas.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen