malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas MP Jempol harap rayuan kedua diterima Umno
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM
ADS

Bekas ahli parlimen Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif berharap pucuk pimpinan Umno mempertimbangkan rayuan keduanya berhubung penggantungan keahlian dalam parti itu.

Menurutnya, rayuan pertama telah dihantar tahun lalu, manakala surat rayuan terbaru dikemukakan pada April lepas.

"Saya masih setia menanti keputusan rayuan tersebut dan sekiranya rayuan saya kali ini diterima oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya sangat-sangat menghargainya.

"Walaupun digantung, saya telah membuktikan masih setia bersama Umno dan masih aktif menyokong rakan-rakan dalam parti terutama di kawasan Jempol," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Salim menegaskan Umno kekal menjadi satu-satunya parti pilihannya sejak dahulu lagi.

Mengulas spekulasi sebelum ini yang mengaitkan dirinya akan menyertai parti lain, Mohd Salim menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan telah membuktikan bahawa dia kekal setia kepada Umno.

Untuk rekod, Mohd Salim antara lima individu yang digantung keahlian Umno selama enam tahun, bersama Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang; dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara menarik semula penggantungan Tajuddin pada November tahun lalu.

Pada Ahad, media melaporkan Ahmad Zahid memaklumkan hanya dua surat rayuan rasmi diterima setakat ini, iaitu daripada Tajuddin dan Mohd Salim.

Tambahnya, Umno turut menghormati usul yang dibawa bahagian-bahagian, termasuk Umno Bahagian Sembrong, yang baru-baru ini mengusulkan agar Hishammuddin yang jyga bekas ketua bahagiannya diterima semula dalam kepimpinan parti.

“Bagi individu yang ingin kembali, mereka perlu mengemukakan surat rasmi memohon agar tindakan disiplin ditangguhkan atau dibatalkan,” jelas Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen