Seorang bekas pembantu tadbir pejabat Felda Panching Timur, dekat Kuantan, Pahang, hari ini mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah wang khairat kematian bernilai lebih RM41,000.
Tertuduh, Nurul Syafiha Awang Za, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen Kuantan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Syafiha didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Felda Panching Timur, Kuantan, antara Feb 2018 hingga Jun 2019.
Dia diamanahkan oleh Roslan Kamin dengan harta – iaitu wang tunai bernilai RM41,652.42 – untuk pembayaran khairat kematian kepada tujuh waris peneroka Felda Sungai Panching yang meninggal dunia.
Nurul Syafiha didakwa melakukan pecah amanah jenayah itu apabila secara tidak jujur menggunakan wang berkenaan untuk kegunaannya sendiri.
Pendakwaan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dilakukan timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam, Syed Azimal Syed Abu Bakar.
Susulan pengakuan bersalah dibuat tertuduh, mahkamah memutuskan dia dihukum penjara tiga bulan bermula hari ini serta denda RM20,000.
Tertuduh perlu menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar jumlah denda ditetapkan itu.

