malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja gig: Tubuh kesatuan, elak jadi 'panglima tepi longkang'
ADS

Para pemandu dan penghantar makanan Grab serta Foodpanda digesa menubuhkan kesatuan sendiri bagi memperjuangkan hak mereka secara sah dan tidak menjadi sekadar “panglima di tepi longkang” saja.

Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata ada banyak isu yang dibangkitkan oleh golongan pekerja gig ketika ini boleh diselesaikan jika mereka menggerakkan usaha menubuhkan organisasi secara rasmi.

“Saya ingin maklumkan bahawa isu berkaitan Grab, Foodpanda, dan sebagainya – sama ada tentang hak mereka atau faedah-faedah mereka – sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara menubuhkan kesatuan.

“Melalui kesatuan, terma-terma boleh dirunding oleh kedua-dua pihak dan diikat sebagai undang-undang mengikut Seksyen 13, 14, 15, 16, dan 17 Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media itu berkaitan pertikaian melibatkan Yayasan Bank Rakyat dan bekas pegawai kanannya.

Abdullah Sani menjelaskan, pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 turut membolehkan penubuhan kesatuan gabungan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pekerja gig untuk bersama-sama memperjuangkan nasib masing-masing.

Justeru, kata bekas Ahli Parlimen Kapar itu lagi, seandainya pemandu dan penghantar makanan seperti Grab serta Foodpanda berasa ragu-ragu untuk menubuhkan kesatuan sendiri, masih ada jalan lain untuk mereka.

Caranya ialah, kata Abdullah Sani, mereka bergabung dengan kesatuan sedia ada.

“Melalui gabungan ini, kesatuan tersebut boleh membentangkan perjanjian bersama (collective agreement) yang akan meliputi ribuan pekerja, walaupun hanya 100 orang yang menjadi ahli,” katanya.

Agar tak dipertikai sesiapa

Tambah Abdullah Sani hanya melalui kesatuan, hak pekerja gig dapat dijamin secara sah, termasuk untuk membawa tindakan terhadap majikan yang melanggar perjanjian bersama.

“Para pemandu Grab dan penghantar Foodpanda perlu mengambil langkah yang betul supaya hak mereka terikat dalam perjanjian bersama, yang tidak boleh dicabar atau dilanggar.

“Jika dilanggar, tindakan boleh diambil di bawah seksyen 18 yang membolehkan pihak yang melanggar dipenjara atau didenda,” katanya.

Dia turut mengulas sikap segelintir penghantar makanan dan pemandu e-hailing yang kerap mengadu masalah mereka di media sosial.

Menganggap tindakan itu sebagai langkah mahu menjadi “hero” atau “pannglima” saja, Abdullah Sani menambah, pihak terbabit sebenarnya kurang memahami undang-undang.

“Saya ingin maklumkan kepada semua, di luar sana ramai yang mahu menjadi hero’ etapi tidak memahami undang-undang sebenar.

“Ada pula yang mahu menjadi ‘panglima’, tetapi akhirnya hanya jadi panglima di tepi longkang,” katanya.

Sedangkan tambah Abdullah Sani, pihak yang boleh menyelesaikan masalah mereka ialah pekerja terbabit sendiri iaitu dengan menubuhkan kesatuan serta membuat perjanjian bersama, atau bergabung dengan mana-mana kesatuan sedia ada untuk membolehkan mereka membentangkan perjanjian tersebut.

“Barulah semua masalah dapat diselesaikan dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen