malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pusara Nurly jadi tumpuan: Na’im pesan jaga adab, hormat tanah perkuburan
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar meminta umat Islam di negara ini supaya menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia, menghormati kawasan perkuburan dan tidak menjadikannya tempat mencari keberkatan mahupun populariti.

Mohd Na'im menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi, berkata umat Islam sebaliknya digalakkan untuk menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian, menambah keinsafan dan mendoakan kesejahteraan roh si mati dan bukannya dengan tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.

“Saya mengikuti laporan berita mengenai tindakan segelintir pihak yang didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan kononnya mendapat berkat. Perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni,” katanya.

Sehubungan itu dia mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut perbuatan yang tiada asas dalam syariat terutama yang boleh menjurus kepada perkara menyanggahi akidah agama Islam. 

Dia berkata tindakan seperti mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah sekiranya disertai dengan keyakinan ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat. 

“Saya juga menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas namun berhemah dalam menangani isu ini serta usaha pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan. Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam di negara ini,” katanya. 

Pada masa sama, Mohd Na’im mengajak umat Islam untuk sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham Nurly Shahirah dicucuri rahmat serta diberikan ketabahan kepada keluarganya menghadapi ujian tersebut.

Semalam, media melaporkan keluarga terpaksa memasang tali penghadang di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, Terengganu susulan tindakan segelintir individu melakukan perbuatan syirik dan khurafat di kawasan tersebut.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen