Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam satu rangkaian militan berkaitan warga Bangladesh, seperti yang didedahkan baru-baru ini.
Saifuddin berkata hasil siasatan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), kumpulan yang membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara itu melibatkan warga Bangladesh sahaja.
“Hingga sekarang ternyata aktiviti itu hanya terkait dengan keganasan dan ada motif untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal mereka (Bangladesh).
“Jadi, adalah penting untuk kita hebahkan kepada rakyat bahawa pasukan keselamatan kita berada pada tahap siap siaga yang tinggi. Kalau aktiviti ini tidak dibendung atau ditangani secara sambil lewa, ia akan memberi kesan besar kepada keselamatan negara,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Sukarelawan Malaysia 2025 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang, hari ini.
Baru-baru ini, Saifuddin mendedahkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Dia berkata penahanan itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lepas.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diperkukuhkan dalam masa terdekat, yang bakal diterajui oleh PDRM dengan sokongan agensi lain.
“Sebelum ini, ia (NSRC) ada empat agensi yang kawal selia termasuk MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), Bank Negara dan polis. Bagaimanapun, empat agensi yang kawal selia cara operasinya tidak begitu kemas.
“Jadi, apabila ia diperkukuhkan yang (akan) menerima panggilan (aduan) adalah polis bertugas, butiran diambil dan kita akan maklumkan kepada bank untuk pihak bank ambil langkah pertama dengan bekukan akaun bank mangsa secepat mungkin. Polis akan segera cuba mengembalikan wang mangsa,” katanya.
Katanya, langkah pengukuhan tersebut juga akan melibatkan pengoperasian 24 jam talian hotline NSRC 997, yang membolehkan mangsa membuat aduan pada bila-bila masa selain bilangan petugas pusat tersebut akan ditambah.
Katanya lagi, cadangan pengukuhan tersebut telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
-Bernama

