Tiada kanak-kanak sepatutnya mengalami kecederaan di tangan ibu bapa mereka, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.
Menjawab insiden di Melaka pada Khamis yang melibatkan seorang bapa dilaporkan membaling kerusi ke arah anak lelakinya yang berusia 11 tahun, Syerleena berkata tindakan sedemikian adalah tidak wajar sama sekali.
“Mewajarkan kelakuan sedemikian kerana ‘kopi tidak cukup panas’ meremehkan isu keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak yang serius.
"Ia menghantar mesej yang salah kepada masyarakat - bahawa penderaan domestik boleh dijelaskan," katanya kepada Malaysiakini.
"Apabila kanak-kanak dicederakan secara fizikal, tanpa mengira sebab, ia bukan disiplin, ia adalah keganasan," katanya.
Portal dalam talian Malaysia Gazette semalam melaporkan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Melaka Kalsom Noordin berkata kanak-kanak itu bersendirian di rumah bersama bapanya ketika kejadian, manakala ibunya sedang bekerja.
“Bapanya kemudian menyuruh kanak-kanak itu menyediakan air kopi O panas namun ia tidak panas menyebabkan lelaki itu berang kerana anaknya menjawab air sudah dipanaskan.
“Tidak percaya dan marah dengan penjelasan anaknya itu, lelaki terbabit mencapai kerusi dan membalingnya sehingga terkena ke kepala mangsa,” katanya sambil menambah lelaki itu kemudian membersihkan luka anaknya.
Kanak-kanak itu bagaimanapun kemudian memberitahu ibunya mengenai kejadian itu selepas dia pulang dari kerja.
“Mangsa kemudian di bawa ke klinik di Cheng namun doktor terpaksa merujuknya ke Hospital Melaka kerana klinik terbabit tidak mempunyai kemudahan x-ray dan Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan).
“Hasil imbasan CT dan x-ray yang dibuat di hospital selepas itu mendapati tiada sebarang kecederaan serius terhadap mangsa,” katanya dipetik Malaysia Gazette.
Laporan itu menyatakan kejadian itu terbongkar selepas pihak sekolah kanak-kanak itu menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Portal itu memetik sumber yang berkata dia difahamkan kejadian baling kerusi itu bukan kali pertama dan kanak-kanak itu pernah dipukul bapanya sebelum ini, namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius selain lebam di tangan dan kaki.

