ULASAN BUKU | Sosok bernama Hassan Abdul Karim itu memang berwarna-warni. Bagi penggemar politik, ada banyak yang boleh diperkatakan mengenai anak kelahiran Pontian, Johor ini. Sejak zaman mudanya hinggalah kini – ada saja yang menarik perhatian ramai pada dirinya.
Justeru apabila ada buku autobiografi Hassan diterbitkan, apa lagi pilihan yang ada selain daripada ‘memburu’ dan menghadamkan apa yang ditulis oleh ahli politik berkenaan.
Perjalanan Hidup bercerita tentang kisah Hassan sejak kecil sehinggalah selepas PRU ke-15.
Melalui naskhah tersebut kita tahu serba sedikit bagaimana Hassan membesar dan apa yang melatari hidupnya sehingga Hassan yang lahir pada 17 Okt 1952 itu menjadi Hassan yang tumbuh sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang pada 2022.
Dan – lebih kurang – apa yang membuatkan dia selalu memilih untuk menongkah arus apabila dirasakan perlu. Pedulilah yang disanggah itu guru sekolahnya, orang atasannya, presiden partinya, atau malah pemerintah di negeri kelahirannya.
Autobiografi Hassan yang diberi judul Perjalanan Hidup ini dibahagikan kepada 11 bab, bermula dengan kisah dia semasa kecil, berlanjutan ke alam persekolahan, remaja, menjadi mahasiswa, dibuang dari universiti, sehinggalah menjadi wakil rakyat yang enggan lagi bertanding dalam pilihan raya kerana menyedari usianya yang kian lanjut.
Secara umum membaca Perjalanan Hidup adalah pengalaman yang santai dan ‘laju’. Dari satu episod ke episod berikutnya tidak memerlukan masa yang lama untuk dihabiskan. Justeru pembaca tidak terasa terbeban untuk menghabiskan sesuatu bab.
Tetapi pada ketika tertentu penceritaan Hassan agak panjang walaupun tidak semestinya terperinci. Ada waktunya juga Hassan bercerita dengan jujur sehingga membuat kita dapat merasai kelucuan suasana diceritakan.
‘Memaksa’ pembaca ke belakang
Misalnya melalui buku itu kita tahu bahawa Hassan pernah bercita-cita mahu menjadi doktor. Membesar dan tumbuh sebagai pelajar yang pintar akan memudahkan kita faham bahawa cita-cita menjadi doktor itu bukanlah aneh.
Tetapi hasratnya tidak tercakai bukan kerana halangan akademik, tetapi kerana dia tidak cukup kuat untuk melihat darah.
Hassan juga pernah gigih mahu mencabar Teori Darwin semasa belajar di universiti. Tetapi itulah yang membuat seorang Hassan kemudiannya ‘hanyut’ perlahan-lahan.
Perjalanan Hidup oleh Hassan ini juga akan terasa dekat jika pembaca sudah menekuni beberapa buku lain sebelum ini. Dua Wajah oleh Allahyarham Syed Husin Ali dan Bersama Anwar Ke Penjara oleh Kamarazaman Yacob, misalnya.
Ada banyak nama yang sama yang mereka ceritakan. Cuma mungkin tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa cerita dari tangan Syed Husin dan Kamarazaman itu lebih mengujakan berbanding sudut pandang Hassan.

Hal itu mungkin kerana penglibatan kedua-dua tokoh itu – secara relatif – lebih langsung berbanding seorang Hassan yang kadang-kadang kurang ke depan.
Pada masa sama, membaca Perjalanan Hidup terasa sedikit terganggu dengan beberapa kecuaian atau kekurangan di sana sini. Ia akan lebih terasa jika anda memang mementingkan ketepatan berbahasa.
Di sana sini dapat ditemui tulisan yang tidak disunting dengan kemas, atau terasa seperti tergesa-gesa mahu dihabiskan, seolah-olah penulis atau penerbitnya mengejar sesuatu.
Sosok penting dalam hidup
Pemilihan kronologi juga pada suatu ketika terasa sedikit janggal. Selepas Hassan bercerita tentang pengalaman di tingkatan empat, episod seterunya dia ‘memaksa’ pembaca berundur setahun atau dua tahun ke belakang. Terganggu juga.
Hassan juga beberapa kali memetik nama orang kenamaan yang rupa-rupanya mempunyai hubungan baik dengannya. Seorang daripada mereka ialah Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai ‘sumbangan signifikan’ dalam hidup Hassan.
Misalnya Ahmad Zahid menjadi pelanggan pertama yang menempah batu nisan dijual Hassan.
Hassan juga berkawan dengan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kemudian menjadi hartawan lalu menawarkan saham syarikatnya. Tokoh itu bukan Melayu, tetapi nampak mahu membantu anak Melayu.

Buku Hassan ditamatkan dengan kisah pemergian Syed Husin ke alam abadi. Entah disengajakan atau kebetulan, barangkali Hassan mahu menghantar isyarat betapa sosok Syed Husin itu memang mempunyai tempat yang penting dalam hidupnya.
Bab terakhir – yakni bab 11 – dalam buku Hassan dibuat seperti mendatar sedikit.
Selepas kisah-kisah menarik, mencengang dan sedikit mendebarkan, Hassan menutup bukunya dengan catatan-catatan sangat sederhana dan mungkin sedikit antiklimaks.
Demikian seorang Hassan yang agak rajin membuat kenyataan media dengan menyediakan teks yang menyejukkan hati kerana tidak banyak kesalahan dibuat, atau tidak perlu disunting begitu banyak. Serta bebas daripada elemen syok sendiri.
Buku Hassan diberi kata pengantar oleh ahli akademik terkenal, Jomo K Sundaram. Dan membaca catatan Jomo sepatutnya mengingatkan kita bahawa di sebalik sosok itu juga ada banyak kisah yang belum diceritakan, dan mesti dikisahkan.
“Dari papan batu, papan kapur dan dari sekolah atap sebenarnya negara Malaysia ini dibina,” adalah salah satu kata-kata yang sedap daripada Hassan dalam Perjalanan Hidupnya.
Judul: Perjalanan Hidup
Penulis: Hassan Abdul Karim
Penerbit: Gerakbudaya
Tahun terbit: 2025
Tebal: 319 halaman
Harga: RM60 atau RM88
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang percaya di antara politik hiruk dan damai, ada politik mamai.
Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.

