malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bot terbalik, 3 maut: Pemandu bot disahkan positif dadah - Polis
Diterbitkan:  Jun 29, 2025 10:59 AM
Dikemaskini: 3:28 AM
ADS

Pemandu bot yang terbalik di perairan Pulau Perhentian di Terengganu malam tadi - kejadian yang mengorbankan tiga orang termasuk dua kanak-kanak - telah ditahan selepas didapati positif dadah, lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Besut, Azamuddin Ahmad berkata, berdasarkan siasatan, kesemua mereka tidak memakai jaket keselamatan.

Dia berkata, pemandu bot berusia 20-an itu telah ditahan bagi membantu siasatan. Pemandu bot yang merupakan warga tempatan itu mempunyai lima rekod kesalahan berkaitan dadah.

Dia menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga ketika berada di pantai peranginan.

Pengusaha bot, katanya, juga harus mengutamakan keselamatan pelancong dan mematuhi semua peraturan terutama berkaitan penggunaan jaket keselamatan wajib.

Azamuddin berkata dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan 10 tahun adalah antara yang terbunuh.

Dia mengenal pasti mangsa yang maut sebagai S Arumugam, 40, anak perempuannya A Sarrvihka berusia tiga tahun, dan saudaranya berusia 10 tahun, V Vennpani.

Katanya, 12 lagi dalam bot itu termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan.

Bot yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun itu terbalik semasa ribut, hujan lebat dan laut bergelora.

Sinar Harian memetik Pengarah Maritim Terengganu Hamiludin Che Awang berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Operasi Maritim (MRSC) Kuantan pada 10.55 malam, sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada 11.17 malam.

"Sebuah bot peronda Maritim Malaysia segera dihantar ke tempat kejadian. Sebaik tiba, semua mangsa telah pun diselamatkan oleh penduduk kampung yang bertindak pantas memberikan bantuan awal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen