malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MKT Umno dijangka bincang isu penggantungan Hisham Isnin ini
Diterbitkan:  Jun 28, 2025 7:56 PM
Dikemaskini: 12:07 PM
ADS

Isu penggantungan Hishammuddin Hussein dijangka akan dibicangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan berlangsung pada malam Isnin ini.

Ahli MKT Umno, Ahmad Maslan, berkata perbincangan mengenai perkara itu bergantung kepada sama ada ia dibangkitkan oleh Pengerusi Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi atau sebaliknya.

"Saya tidak kata menyokong atau tidak menyokong, sebaliknya isu ini perlu mengikut prosedur yang ditetapkan. Keputusan asal penggantungan pun dibuat dalam MKT, maka keputusan lanjut juga menerusi mesyuarat MKT. Jadi kita tunggu Isnin ini.

"Sudah tentu isu berkenaan akan dibincangkan sekiranya Pengerusi Umno Johor membawa isu berkenaan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bachok, hari ini.

Umno Bahagian Sembrong baru-baru ini mencadangkan agar penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik balik, sejajar dengan usaha memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata MKT boleh mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan Hishammuddin, walaupun Ahli Parlimen Sembrong itu tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Dia turut mengingatkan bahawa MKT tidak akan menggantung atau memecat mana-mana ahli melainkan kesalahan telah dikenal pasti.

Tanpa menamakan sesiapa, Ahmad Zahid berkata terdapat “seorang individu” yang melakukan tiga kesalahan dalam Umno, yang membawa kepada hukuman berkenaan.

Salah satu kesalahan itu didakwa melibatkan usaha meyakinkan 10 Ahli Parlimen BN untuk menandatangani akuan bersumpah menyokong PN selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Hishammuddin digantung selama enam tahun oleh Umno pada Januari 2023.

Turut digantung ketika itu ialah bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, manakala bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar pula dipecat daripada parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen