malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Langkah semak RMK13 telah dibincang, bukan dibuat tergesa-gesa
ADS

Langkah kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan reaksi yang tergesa-gesa, sebaliknya telah melalui proses perbincangan sejak dua minggu lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perbincangan tersebut telah bermula daripada draf yang telah dibentangkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Ekonomi kepada Jemaah Menteri.

“Kita sebenarnya dah berbincang, dalam sidang media saya beberapa minggu yang lepas, saya telah sebut bahawa Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah memberi arahan...untuk meneliti draf yang telah dibentangkan oleh KSU Kementerian Ekonomi.

“Seperti yang umum sedia maklum, sebarang dasar program ataupun keputusan yang dibuat, pertama  mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Maka Perdana Menteri telah minta supaya pada Jumaat minggu lepas, semua kementerian meneliti draf dan menulis kepada Kementerian Ekonomi dengan maklum balas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (Nanba) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata berikutan perkara itu, satu sidang khas Jemaah Menteri telah diadakan pada Isnin minggu lepas untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.

“Dalam mesyuarat itu telah dilihat banyak perkara yang telah diminta oleh kementerian-kementerian yang perlu diambil kira oleh Kementerian Ekonomi dalam membentuk dokumen RMK13.

“Itulah antara sebab kenapa Jemaah Menteri pada Rabu lepas, (iaitu) mesyuarat yang terakhir, telah memutuskan Menteri Kewangan II Amir Hamzah diminta untuk menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan telah mempersoalkan langkah kerajaan menyemak semula RMK13 sebagai reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan media sosial yang ditujukan kepada Fahmi.

Perkara itu susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar semalam, yang memaklumkan Amir Hamzah telah ditugaskan untuk “mengolah dan merombak semula” RMK13 sambil menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen