malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nahas bas Upsi: Pelajar terselamat rancang saman pemandu, syarikat bas
Diterbitkan:  Jun 28, 2025 12:53 PM
Dikemaskini: 4:53 AM
ADS

Sejumlah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang terselamat dalam tragedi kemalangan bas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu dan syarikat bas terlibat.

Antaranya Abdul Wafiy Kamarudin, 23, yang berharap agar tindakan saman itu menjadi peringatan kepada semua pemandu supaya lebih bertanggungjawab di jalan raya.

"Tuntutan yang dibuat membabitkan ganti rugi kecederaan dan kehilangan barangan peribadi semasa kemalangan berkenaan. Ia (tuntutan) akan dikemukakan selepas selesai urusan dokumentasi bersama agensi yang terbabit," katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Wafiy berkata mereka sedang mengumpulkan mangsa lain yang ingin untuk menyertai tindakan tersebut, dan kebanyakan rakannya bersedia untuk meneruskannya.

Peguam yang mewakili para pelajar, Mahmud Jumaat, berkata dia dan pasukannya akan membantu keluarga mangsa berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Dia juga berkata firma guamannya telah diamanahkan oleh keluarga sebahagian besar mangsa untuk memfailkan saman dan tuntutan ganti rugi.

Dia turut mengkritik pihak tertentu yang menurutnya bertindak sebagai "broker" dengan menyamar sebagai peguam bagi meraih keuntungan kewangan daripada keluarga mangsa melalui janji “bulan dan bintang.

"Malah, sebagai timbal balas mereka bakal memperoleh komisyen daripada firma guaman yang diperkenalkan oleh broker terbabit.

"Apa yang mustahak, keluarga ini mendapat pembelaan dan mereka berhak untuk menuntut keadilan daripada tragedi yang memilukan ini, "katanya.

Dalam insiden yang berlaku pada 9 Jun itu, 15 pelajar Upsi maut manakala 33 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di KM53 Lebuhraya Timur–Barat, berhampiran Tasik Banding di Gerik, selepas bertembung dengan sebuah lagi kenderaan.

Pemandu bas kini didakwa di mahkamah atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen