Laporan hasil siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya akan dibentangkan kepada umum pada Isnin ini, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Katanya laporan berkenaan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, dan berdasarkan makluman diterima daripada jawatankuasa penyiasatan, ia telah sedia untuk dibentangkan pada hari berkenaan.
"Ia (laporan) telah sedia semalam, tetapi kita tidak boleh bentang kerana semalam cuti umum, jadi lebih baik ia dibuat pada Isnin ini.
"Kita (kerajaan negeri) akan buat secara umum, kita akan maklumkan nanti, selepas dah bentang kepada kabinet kemudian kita akan beri (bentang) pula secara umum … kita ikut proses," katanya.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui pada program majlis pelancaran pembangunan fasa pertama Kompleks Pendaratan Hasil Laut Sekinchan, di Sekinchan hari ini.
Sebelum ini, Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya memaklumkan hasil siasatan teknikal insiden berkenaan selesai pada 26 Jun mengikut jangkaan yang ditetapkan.
Insiden kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
- Bernama

