ULASAN | Kebanyakan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini mempunyai pelbagai laluan kemasukan berdasarkan kelayakan pra-universiti yang berbeza seperti STPM, matrikulasi dan lain-lain.
Zaman di mana kemasukan ke universiti awam hanya berdasarkan STPM atau kelayakan pra-universiti A-Level sudah berlalu.
Baru-baru ini, Universiti Malaya, iaitu universiti tertua di negara ini, telah memperkenalkan satu lagi sistem kemasukan tambahan.
Sistem terdahulu yang berasaskan STPM dan matrikulasi masih dikekalkan melalui sistem UPU.
Sistem kedua atau sistem pelengkap ini pula memberi ruang kepada pelajar yang mampu membayar yuran pengajian di universiti, manakala sistem UPU mendapat subsidi besar daripada kerajaan.
Perlu diingat, universiti awam ditubuhkan dan diuruskan dengan dana daripada pembayar cukai.
Kemasukan melalui sistem UPU adalah berdasarkan gabungan prinsip merit dan tindakan afirmatif, di mana yang kedua ini memberi keutamaan kepada pelajar Melayu/Bumiputera.
Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa merit semata-mata menjadi asas pertimbangan kemasukan di bawah sistem tradisional UPU.
Malangnya, apabila menyentuh tentang sistem kemasukan kedua atau SATU, banyak persoalan yang masih belum terjawab.

Baru-baru ini, MCA telah membangkitkan beberapa persoalan yang agak tidak selesa berhubung sistem kemasukan kedua yang dikenali sebagai SATU.
Pertama, mengapa perlu wujud sistem kemasukan kedua sedangkan sistem asal berjalan dengan baik?
Kedua, pihak pentadbiran Universiti Malaya mempertahankan sistem ini sebagai berasaskan merit. Jika benar ia berasaskan merit, bagaimana sistem yang kononnya mengutamakan merit hanya membenarkan pelajar yang mempunyai kemampuan kewangan untuk diterima masuk, khususnya dalam program profesional seperti perubatan, pergigian, sains komputer dan lain-lain?
Ketiga, bagaimana pula dengan pelajar miskin yang mempunyai kelayakan pra-universiti yang cemerlang tetapi dinafikan tempat hanya kerana mereka tidak mampu dari segi kewangan?
Malangnya, pihak Universiti Malaya masih belum memberikan penjelasan terperinci terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh MCA atau pihak lain.
Universiti terus mempertahankan SATU atas dasar meritokrasi. Bukanlah satu kesalahan untuk universiti awam memperbaiki sistem kemasukan mereka bagi memperkukuh keupayaan kewangan institusi.
Namun, memandangkan universiti-universiti ini dibiayai dan diuruskan dengan sumbangan pembayar cukai, kewujudan pelbagai sistem kemasukan tidak seharusnya dilihat sebagai menyingkirkan pelajar daripada latar belakang miskin.
Mungkin sudah tiba masanya untuk Universiti Malaya menjelaskan secara terperinci bagaimana dan dalam bentuk apa sistem kemasukan kedua atau SATU ini benar-benar berlandaskan meritokrasi tanpa memperbesar jurang kelas dalam masyarakat.
P RAMASAMY adalah pengerusi Urimai.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

