malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Keputusan dasar mesti cerminkan suara akar umbi
ADS

ULASAN | Keputusan kerajaan untuk mengecualikan buah epal dan oren import daripada dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sememangnya memberikan kelegaan kepada pengguna.

Namun, keputusan seperti itu juga menimbulkan persoalan tentang bagaimana sesuatu dasar itu dirangka, dan siapa yang benar-benar menjadi rujukan utama dalam menentukan keutamaan rakyat.

Dalam konteks ini, adalah penting untuk diakui bahawa pegawai-pegawai tinggi kerajaan – yang sebahagiannya hidup dalam kelompok elit – mungkin tidak sepenuhnya memahami denyut nadi rakyat marhaen.

Kehidupan mereka yang jauh dari realiti rakyat biasa boleh menyebabkan wujudnya jurang dalam membuat pertimbangan dasar yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.

Kebarangkalian keputusan awal mengenakan SST ke atas buah-buahan import seperti epal dan oren adalah hasil cadangan pegawai teknokrat yang menilai dari sudut kutipan hasil semata-mata.

Ia kelihatan dibuat tanpa meneliti sensitiviti rakyat yang menganggap buah-buahan berkenaan sebagai sebahagian daripada keperluan harian dan bukan lagi barang mewah.

Kerajaan Madani perlu mengambil iktibar. Dalam merangka dan memutuskan dasar-dasar baru yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat, adalah wajar untuk kerajaan memperluaskan pendekatan libat urus (engagement) dengan rakyat akar umbi.

Negara mempunyai banyak agensi sosiopolitik dan saluran kajian lapangan yang boleh dimanfaatkan bagi mendapatkan gambaran sebenar sentimen rakyat.

Keputusan yang berpaksikan data lapangan dan suara rakyat pasti akan lebih tepat, tulen dan menepati keperluan semasa.

Ia juga akan mengukuhkan imej perdana menteri dan kerajaan Madani sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar mendengar dan memahami denyut nadi rakyat.

Dalam era keterbukaan ini, kebergantungan mutlak kepada pegawai teknokrat tanpa semakan silang dengan pandangan rakyat bawahan boleh menjadi liabiliti politik, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang mempromosikan prinsip keadilan sosial serta keterangkuman.


AHMAD NIZAM HAMID ialah seorang peguam yang berpejabat di Temerloh, Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen