malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sepanyol hadapi gelombang haba lebih 40 darjah Celsius
Diterbitkan:  Jun 28, 2025 8:48 AM
Dikemaskini: 12:48 AM
ADS

GLOBAL | Sepanyol dijangka mengalami gelombang haba pertama tahun ini dengan suhu maksimum melebihi 40 darjah Celsius, menurut ramalan perkhidmatan cuaca negara AEMET pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Bermula Sabtu, 75 peratus daripada semua kawasan kawasan perbandaran di negara itu dijangka berdepan risiko kesihatan pada tahap rendah, sederhana atau tinggi.

Suhu paling panas – mencecah sehingga 43 darjah Celsius – dijangka berlaku di wilayah selatan Andalusia.

Bagaimanapun, penduduk sekitar Zaragoza di timur laut juga dinasihatkan bersedia menghadapi suhu tinggi.

Orang ramai disarankan untuk tidak keluar rumah ketika waktu paling panas pada siang hari jika boleh.

Namun, pada waktu malam juga tiada kelegaan sebenar kerana suhu dijangka kekal melebihi 30 darjah Celsius walaupun selepas tengah malam.

Ketika malam tropika seperti itu, lapor dpa, suhu hanya turun kepada sekitar 25 darjah pada awal pagi sebelum kembali meningkat selepas jam 6 pagi.

Menurut AEMET, gelombang haba berkenaan dijangka berlarutan sehingga Khamis.

Kejadian haba melampau kini berlaku lebih awal, dan pakar mengaitkannya dengan perubahan iklim akibat apa yang dicetuskan manusia.

Menurut AEMET, pada Jun 1975 hingga 2000 hanya dua gelombang haba direkodkan di negara itu, berbanding sembilan antara 2000 hingga 2024.

Tahun ini, kata AEMET, suhu sekitar 40 darjah Celsius berlaku pada Mei walaupun biasanya fenomena itu hanya berlaku pada Ogos.

- Bernama/dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen