malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zaharudin patut mohon maaf berhubung dakwaan mengenai MM2H - AMK
Diterbitkan:  Jun 27, 2025 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM
ADS

Yang Diertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad harus memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai program Malaysia My Second Home (MM2H) baru-baru ini, kata Ketua Biro Undang-undang dan Pengaduan Awam Pemuda PKR (AMK), Khairul Naim Rafidi.

Khairul berkata kenyataan Zaharuddin bukan sahaja mengelirukan tetapi mencerminkan salah faham serius terhadap Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan undang-undang kewarganegaraan Malaysia.

"Program Malaysia My Second Home (MM2H) hanyalah program visa jangka panjang.

"Program ini tidak memberikan kerakyatan atau pemastautin tetap, termasuk untuk anak-anak mereka yang dilahirkan di Malaysia. Sebaliknya, peserta kekal sebagai warga negara asal mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Khairul menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan menggariskan syarat-syarat yang ketat dalam pemberian kewarganegaraan.

Katanya, Perkara 14 dan 15 menetapkan syarat mengenai status ibu bapa, tempoh bermastautin, dan kelulusan khas daripada kerajaan.

Begitu juga Perkara 19 memperuntukkan bahawa naturalisasi hanya boleh diberikan selepas lebih 10 tahun bermastautin, fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan, dan sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Manakala Perkara 43(7) menetapkan bahawa individu yang memperoleh kerakyatan secara naturalisasi tidak layak dilantik sebagai perdana menteri.

"Justeru, naratif yang dikemukakan oleh Zaharuddin bukan sahaja palsu tetapi menjejaskan keutuhan Perlembagaan – asas perpaduan negara kita," tambah Khairul.

Sebelum ini, Zaharuddin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat spekulasi mengenai kemungkinan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu menjelang tahun 2058, sambil mengepilkan gambar pelantikan Johnny Lim Eng Seng sebagai leftenan jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dia membayangkan bahawa ibu bapa perdana menteri memperoleh kewarganegaraan melalui program MM2H selepas membeli kondominium di Kampung Sungai Baru 23 tahun lalu.

Zaharuddin dalam catatan Facebook berasingan semalam, mendakwa bahawa catatan asalnya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang MM2H.

Menurutnya, warga asing akan membeli hartanah dan menetap di Malaysia, dan apabila ada kelahiran, mereka mungkin memohon kewarganegaraan dan akhirnya menuntut hak untuk mengundi.

"Jika orang asing masuk (Malaysia) secara terancang, seperti Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada 2058, perdana menteri akan menjadi anak kepada orang asing itu," katanya.

Khairul Naim

Sementara itu, Khairul menggesa Zaharuddin, yang telah mengancam tindakan undang-undang terhadap pengkritiknya agar memohon maaf berbanding menyalahkan orang lain atas kenyataannya sendiri.

"Sebagai ahli politik, Zaharuddin harus faham bahawa membetulkan kesilapan bukan tanda kelemahan, sebaliknya ia mencerminkan akhlak mulia dan keberanian akhlak.

"Oleh itu kami menggesa beliau memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang menimbulkan keresahan orang ramai dan mengelak daripada menyalahkan orang lain kerana ‘salah tafsir’ kata-katanya.

"Dalam Islam, memohon kemaafan adalah tanda kematangan dan keikhlasan, bukan kelemahan," kata Khairul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen