Peguam Negara (AG) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada peguam Shafee Abdullah bagi menjelaskan alasan prosiding komital tidak harus dikenakan terhadapnya berhubung kenyataan "Nazi-Germany" berhubung kes titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak.
Dalam surat bertarikh 23 Jun, Peguam Negara memberi Shafee tujuh hari untuk memberikan jawapan yang memuaskan, jika gagal pendakwaan jenayah akan dimulakan terhadap kenyataannya.
Surat itu yang ditandatangani oleh timbalan pendakwa raya Saiful Edris Zainuddin bagi pihak Peguam Negara Dusuki Mokhtar, dihantar menurut Perintah 52, Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Peruntukan itu menetapkan bahawa notis rasmi untuk menunjukkan sebab mengapa seseorang tidak boleh dipenjarakan atau didenda kerana menghina mahkamah mesti disampaikan secara peribadi.
Surat itu mendakwa Shafee, yang bertindak sebagai wakil undang-undang Najib, telah mengeluarkan kenyataan yang menggugat keyakinan orang awam ke atas pentadbiran keadilan, semasa sidang media pada 29 Mei.
Menyedari bahawa sidang media itu juga telah disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Najib, surat itu menegaskan bahawa kenyataan Shafee secara tersirat mencadangkan bahawa mahkamah telah gagal menjalankan fungsinya mengikut undang-undang.
"Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh kamu dalam sidang media bertarikh 29 Mei 2025 itu secara keseluruhannya mengandungi risiko yang nyata, yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas pentadbiran keadilan dan terjumlah kepada gangguan ke atas pentadbiran keadilan.
"Bahawa dengan tindakan-tindakan kamu yang disebutkan di atas, kamu telah mengaibkan Badan Kehakiman ('scandalizing the judiciary') dengan mempersoalkan keputusan berkenaan tindakan guaman Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” kata surat itu.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Shafee telah membandingkan prosiding kehakiman yang sedang berjalan berhubung pendengaran titah adendum Najib dengan tadbir urus era Nazi, mengkritik perintah mahkamah untuk menghentikan sementara semua prosiding yang dikaitkan dengan titah tambahan diraja itu.
Dia berhujah bahawa perintah penangguhan Mahkamah Tinggi hanya terpakai untuk prosiding semasa, bukan prosiding pada masa depan seperti perbicaraan penghinaan terhadap bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh.
Sehari selepas sidang media itu, firma guaman Shafee, Shafee and Co, menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat semasa perbualan dengan seorang wartawan dan harus difahami dalam konteks yang betul.
Syarikat itu menambah bahawa ulasan itu bukan bertujuan untuk menjejaskan badan kehakiman atau mana-mana hakim tertentu, tetapi untuk tujuan mendidik orang ramai dan mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap mahkamah.

