SAYA tertarik dengan tulisan Mohd Fudzail Mohd Nor bawah tajuk “pemandu bas disokong sistem rapuh”, kelmarin. Tulisan beliau menggambarkan situasi semasa sebenar yang mengerikan. Saya pasti ramai yang akan bersetuju dengan hujah beliau, dan juga pendirian saya.
Hari ini ramai yang semakin takut untuk memandu. Fobia dengan karenah pemandu kita – sekecil-kecil penunggang motosikal, sehingga pemandu kenderaan berat. Sebelum lebuh raya diperkenalkan di negara orang kata jalan raya tidak selamat. Hari ini lebuh raya lagi tidak selamat.
Pemandu-pemandu kita termasuk yang mengendalikan kenderaan berat semakin tidak menghormati peraturan dan undang-undang negara. Termasuk warga asing, di seluruh negara. Ramai yang hilang timbang rasa apabila memegang stereng kenderaan masing-masing. Tidak terkecuali penunggang motosikal, tidak kira kecil atau besar.
Dua kemalangan ngeri dalam tempoh satu bulan baru-baru, kedua-duanya yang berlaku di Perak, memerlukan radar besar untuk kita mengelakkan nahas yang sama daripada berulang. Kita tidak terlibat secara langsung dalam kemalangan tempoh hari.
Esok lusa kemungkinan kemalangan boleh mengheret kita walaupun kita bukan puncanya, sebagaimana telah berlaku ke atas saya dua bulan lalu. Kedua-dua tragedi itu tidak menoktahkan kemalangan lalu lintas (bukan hanya jalan raya, tetapi juga membabitkan lebuh raya), sebaliknya berlaku sehingga ke hari ini, di seluruh negara.
Saya cukup membenci kemalangan. Malangnya ia membawa kerugian ekonomi dan emosi kepada saya disebabkan pelanggaran yang disebabkan oleh dua pemandu lain.
Entah apa sebabnya kita tidak mengambil pengajaran secara serius kemalangan-kemalangan yang menghantui kita. Kemungkinan itu sebabnya kemalangan terus berlaku, dan saya pasti jika sesuatu yang konkrit tidak dilakukan, negara akan berhadapan masalah serius – kemalangan setiap hari, dan kematian yang diakibatkan olehnya setiap hari.
Setiap kemalangan juga membawa kerugian besar, sebagaimana rasuah yang sering diperkatakan, hampir setiap hari.
Satu laporan pada tahun lalu secara khusus menyebut bahawa secara purata setiap hari ada 18 kematian disebabkan oleh kemalangan di pelbagai peringkat, kenderaan dan kawasan. Satu artikel dalam talian baru-baru ini menyebut “jika anda berpendapat bahawa rakyat Malaysia bukanlah pemandu yang berhati-hati, anda betul, kerana statistik menunjukkan (membuktikan) perkara itu.”
Pada tahun 2023, sebanyak 598,635 kemalangan direkodkan di negara ini, meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kadar itu telah juga melepasi puncak lapan tahun sebelumnya iaitu sebanyak 567,516 kes yang direkodkan pada tahun 2019.
RM25 bilion hilang di atas jalan
Dalam statistik yang dikeluarkan di Dewan Rakyat beberapa bulan lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dari segi nilai ekonomi, sekurang-kurangnya RM25 bilion telah hilang akibat kemalangan pada tahun 2023.
“Jumlah kerugian yang dialami negara dikira berdasarkan jumlah kematian dan kecederaan serius yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya,” kata beliau.
Menurut beliau, anggaran nilai kewangan bagi setiap kematian atau kecederaan serius dikira kaedah yang digunakan oleh Program Jalan Raya Antarabangsa (iRAP). Ia mengambil kira semua kemungkinan sumbangan mangsa kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekiranya kemalangan tidak berlaku.
Malah, angka tersebut mengambil kira kehilangan individu yang cekap di tempat kerja mereka, merupakan ahli teras keluarga atau isi rumah, serta dari segi sumbangan kewangan mereka kepada masyarakat.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 35 peratus dalam kerugian ekonomi tahunan akibat kemalangan jalan raya berbanding kerugian RM18 bilion pada tahun 2010. Bagi menanganinya, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan.
Sementara jaminan demi jaminan terus diberikan oleh Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa lain, kemalangan kecil, besar dan maut terus berlaku – seolah-olah satu kejadian rutin, disebabkan oleh pelbagai sebab dan faktor – kecuaian manusia dan kekurangan sistem atau persekitaran bukan manusia.
Kemalangan lalu lintas adalah antara 10 utama kematian di seluruh dunia. Dan, ia adalah punca utama kematian dalam kalangan orang dewasa muda yang berumur di antara 15 hingga 29 tahun. Kemalangan sedemikian juga membawa kepada 20 hingga 50 juta kecederaan tidak membawa maut, dan ramai orang mengalami kecacatan akibat kecederaan mereka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 1.25 juta orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2013 di seluruh dunia. Ringkasan Laporan Status Global mengenai Keselamatan Jalan Raya 2023 menunjukkan bahawa jumlah kematian tahunan akibat kemalangan jalan raya telah menurun sedikit kepada 1.19 juta.
Laporan ini membuktikan bahawa usaha-usaha meningkatkan keselamatan lalu lintas mula memberi kesan, dan pengurangan yang ketara dalam jumlah kematian dapat dicapai sekiranya langkah-langkah yang terbukti berkesan dilaksanakan.
Dalam kajian yang memfokus kepada aspek beban makroekonomi global kecederaan jalan raya melibatkan 166 buah negara, Simiao Chen dan rakan-rakannya menulis bahawa “di peringkat global, kami menganggarkan kerugian makroekonomi akibat kemalangan ialah AS$1.797 trilion (sekitar RM8 trilion) sepanjang tahun 2015 hingga 2030.
Kesilapan manusia
Mengikut data Bank Dunia, beban makroekonomi agregat kemalangan adalah tertinggi di rantau Asia Timur dan Pasifik dengan jumlah kerugian ekonomi sebanyak AS$560 bilion (sekitar RM2.5 bilion).
Malah menurut mereka, beban makroekonomi di 166 negara menunjukkan bahawa antara tahun 2015 dan 2030, kecederaan akibat kemalangan akan menyebabkan ekonomi dunia kerugian hampir RM8 trilion melalui gabungan lencongan – perbelanjaan penjagaan kesihatan yang sebaliknya akan digunakan untuk simpanan atau pelaburan – dan kerugian dalam pekerjaan akibat kematian dan morbiditi.
Angka itu juga menunjukkan senario yang sama atau hampir sama di Malaysia.
The Economist berpendapat bahawa 90 hingga 94 peratus daripada semua kemalangan adalah disebabkan oleh kesilapan manusia dan oleh itu, boleh dicegah melalui penggunaan kereta pandu sendiri.
Dua kemalangan maut di Perak dalam tempoh sebulan lalu satu contoh, bukan sahaja keluarga mangsa kehilangan anggota keluarga tersayang mereka, malah tempat bergantung buat selama-lamanya. Negara juga kehilangan aset penting.
Setiap pihak dan kesemua pihak berhadapan dengan risiko kerugian buat selama-lamanya.
Malah setiap kemalangan yang berlaku membawa kepada kehilangan masa dan sumber – mangsa, keluarga mangsa dan agensi-agensi yang kerja-kerja menyelamat, siasatan dan perubatan.
Saya cuba mencari strategi dan inisiatif mengurangkan kemalangan dalam Laporan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025). Tetapi tiada input yang berkaitan.
Pun begitu, Rancangan Malaysia ke-11 (1996-2020) ada menggariskan usaha mahu “meningkatkan keselamatan jalan raya untuk mengurangkan kemalangan” dan “menambah baik perkhidmatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa”.
Maka, kita perlu mencari formula makro dan holistik untuk menyelesaikan isu kemalangan yang bertali arus menggegar dan menggerunkan kita. Walaupun kebanyakan kemalangan disebabkan oleh faktor manusia di pelbagai sudut, komponen manusia, ia perlu diambil dengan serius oleh pihak berkuasa dalam merangka satu dasar jangka panjang yang padu, tegas dan membina.
Sementara kita berada di depan pintu gerbang Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) yang kini berada di fasa penggubalan, ia wajar digunakan sebagai kenderaan besar untuk mencari formula besar bagi mencapai matlamat sifar kemalangan.
Kita perlu realistik dan konstruktif dalam hal ini supaya pertumbuhan ekonomi negara, yang turut menjadi teras rancangan lima tahun tidak digugat dan tergugat disebabkan oleh kemalangan-kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku, dan boleh dielakkan.
Rancangan Malaysia ke-13 perlu ada satu bab khusus mengenai perkara ini sebab impak kemalangan mempunyai korelasi kuat dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
G MANIMARAN kini penganalisis pilihan raya, dan perunding media.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

